PM lawat tiga pusat kewangan dunia mulai esok
- Suara Keadilan

- Jun 30
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke tiga buah pusat kewangan dunia mulai esok.
Setiausaha Akhbar Kanan PM, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata, Datuk Seri Anwar aan memulakan lawatan ke Rom, ibu negara Itali; Paris ibu negara Perancis dan Rio de Janeiro ibu negara Brazil.
"Ketiga pasaran ini secara kolektif merekodkan perdagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion tahun lalu, dan menawarkan perkembangan pesat dalam sektor ekonomi, kebudayaan, teknologi serta pendidikan," katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang tadi.
Mengenai nilai dagangan ketiga tiga negara, Nasrul berkata Itali mempunyai nilai dagangan RM14 bilion, diikuti Perancis RM15 bilion dan Brazil terbesar sebanyak RM20 bilion.
"Di ibu kota Itali, PM akan mengadakan pertemuan empat mata dengan PM Giorgia Meloni untuk menata agenda ekonomi dua hala dan kebudayaan bersama. Sesi meja bulat perniagaan juga akan diadakan untuk menghimpunkan peneraju industri kedua dua negara.
"Setiba PM di Paris, beliau dijadual bertemu dengan Presiden Emmanuel Macron, di mana fokus perbincangan meliputi sektor perdagangan, teknologi dan pendidikan, di samping sesi meja bulat bersama gergasi industri Perancis," katanya.
Tambah Nasrul, dari Paris Datuk Seri Anwar akan ke Brazil bagi menyertai sidang kemuncak pemimpin BRICS ke 17 atas jemputan presiden negara itu, Luiz Inacio Lula da Silva.
"Kehadiran Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan pengerusi ASEAN yang menekankan multilateralisme yang berasaskan undang undang, tadbir urus, kecerdasan buatan yang mewakili 650 juta rakyat ASEAN," katanya.
PM akan pulang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai untuk menghadiri mesyuarat Menteri Luar ASEAN
Selain itu, Nasrul juga memaklumkan PM dan delegasi akan pergi menaiki pesawat sewa khas MAS.
Pemilihan pasawat MAS dan bukan kerajaan, katanya, dibuat kerana masa dan jadual padat di ketiga tiga negara tanpa transit yang panjang. Kos penyewaan pesawat lebih ekonomi berbanding operasi penuh pesawat kerajaan. Penyelarasan ketibaan delegasi kerajaan dan perniagaan bersama sama juga turut diambil kira.
Kerajaan menanggung semua kos delegasi kerajaan manakala delegasi perniagaan ditanggung sendiri oleh pihak swasta.
Antara syarikat yang turut serta dalam lawatan kali ini ialah Petronas, Khazanah, TNB, Maybank, UEM Group, YTL, Westar, Sunway dan beberapa yang lain.









Comments