Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melawat tapak projek pembinaan lori rawatan air (LRA) di Kota Bharu yang bakal menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di sana.
Meskipun Kelantan negeri dikuasai pembangkang namun Kerajaan Madani tetap menyalurkan projek berimpak tinggi bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang melanda negeri itu sejak 30 tahun lalu.
"Saya mengadakan tinjauan bagi melihat perkembangan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha (20JLH) Fasa 2 dan Sistem Agihan di Belakang SK Pasir Hor, Jalan Pasir Hor, Kota Bharu.
"Dalam sesi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), saya dimaklumkan bahawa tahap kemajuan projek yang bernilai RM54.9 juta ini berada pada tahap 13% (pembinaan)," katanya dalam catatan di Facebook.
PM berharap projek yang dijangka siap pada 2026 tersebut berjalan mengikut jadual dan menyelesaikan masalah bekalan air ibu negeri Kelantan.
Untuk rekod, tahun lalu pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan Kerajaan Negeri memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan Pelan Induk (2021-2030) yang telah disediakan oleh pihak mereka dalam kerangka menyelesaikan masalah bekalan air terawat.
Jumlah itu merangkumi program pengurusan air tidak terhasil (NRW) berjumlah RM1.7 bilion melibatkan penggantian paip, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (TAPS) RM2.1 bilion, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) mini RM120 juta, pembinaan LRA baharu (RM740 juta), naik taraf LRA sedia ada (RM300 juta) dan pengurusan aset (RM70 juta).
Kerajaan Persekutuan sedang menimbangkan perkara berkenaan berdasarkan keperluan sebenar dan semasa di negeri berkenaan.
Tedahulu, PM menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan dikurniai Darjah Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) sebagai penghormatan dari Kerajaan Negeri Kelantan.
"Merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas pengurniaan Darjah Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan. Alhamdulillah.
"Semoga Allah Melindungi Tuanku Dunia dan Akhirat. Dirgahayu Tuanku," katanya.
Comentários