PM ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak ASEAN di Laos
- Suara Keadilan

- Oct 8, 2024
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang berkaitan bermula hari ini hingga Jumaat di Vientiane, Laos.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia akan menggunakan platform serantau itu untuk menyatakan pendirian mengenai isu membabitkan Laut China Selatan, perkembangan di Myanmar dan Timur Tengah.
"Malaysia akan menyatakan pendiriannya mengenai isu Laut China Selatan serta perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah.
"Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta sidang berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau serta mempromosi dan mengekalkan keamanan kestabilan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara," kata kenyataan itu hari ini.
Wisma Putra berkata Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Perdana Menteri akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi pertemuan antara pemimpin-pemimpin dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC)," kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang berkaitan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi perspektif serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Ini termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, keamanan serta kestabilan serantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu, peralihan tenaga, keselamatan makanan, serta kemajuan Timor-Leste ke arah keahlian penuh ASEAN dan hubungan ASEAN dengan rakan kongsinya, katanya.
Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, MITI, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi, serta Kementerian Belia dan Sukan.
Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35.









Comments