
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berangkat ke Turkiye malam ini untuk memberi sokongan moral kepada rakan baiknya Presiden Recep Tayyip Erdoğan dan rakyat Turkiye yang dilanda malapetaka gempa bumi.
Menurut Anwar, beliau pergi kerana permintan Presiden Erdogan agar negara negara sahabat yang menghantar misi menyelamat ke Turkiye memberi sokongan secara politik.
"Saya kali kedua ucap sampaikan perutusan (rasa sedih atas bencana), saya ingat dia terlalu terkesan. Saya ingat sahabat harus ada untuk berikan semangat kepada beliau sebagai presiden dan juga kepada rakyat.
"Walaupun saya tidak boleh buat apa apa dan mulanya enggan pergi. Saya fikir Smart Team dah hantar, hospital dah pergi, tetapi saya lihat kesan kepada presiden itu dan dia rasa sahabat harus bersama.
"Itulah saya akan pergi bersama Menteri Luar dan Menteri jaga NADMA," katanya ketika ditemui pemberita selepas jamuan tengah hari di Parlimen.
Anwar menyatakan beliau akan bertolak pada malam ini dan dijangka sampai keesokkan harinya di Turkiye. Beliau akan pulang pada petang hari untuk esoknya menghadiri sesi sidang parlimen.
Katanya, kunjungan ke Turkiye tidak boleh lama kerana urusan di Malaysia dan banyak temujanji yang sukar dipinda.