
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawat kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru pagi tadi berjanji untuk menyegerakan projek naik taraf hospital berkenaan.
Menurut beliau, kesesakan di ruang HSA sudah tidak tertanggung dengan jumlah pesakit yang terlalu banyak.
"Selepas menghadap Tuanku Sultan Johor saya melawat hospital ini kerana terdapat laporan dari Menteri Kesihatan Dr Zaliha berlaku kesesakan yang berbangkit selama puluhan tahun.
"Jadi beliau bangkitkan kepada Jemaah Menteri, bersama Kementerian Ekonomi, Kewangan dan kita luluskan baru baru ini (projek) parking bertingkat
"Untuk hospital ini (bangunan tambahan) sahaja bagi fasa pertama diperuntukkan setengah bilion ringgit," katanya kepada pemberita.
PM dalam pada itu mahu projek naik taraf tersebut dimulakan pada tahun ini juga terutama beberapa bangunan tambahan hospital yang dirancang.
"Rencana sekarang untuk membangunkan beberapa bangunan supaya dapat memenuhi keperluan. Kalau saya lihat tadi kesesakan itu tidak boleh ditahan lagi
"Perlu ada fast track tender tetapi kita bersetuju mulakan tahun ini. Saya telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Ekonomi," katanya lagi.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Dr Zaliha; Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.