PM hormati perbezaan pandangan secara beradab, berhemah, rasional dipuji
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Reaksi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan pihak lawan politik khususnya peserta demonstrasi 'Turun Anwar' baru baru ini menerima pujian pelbagai pihak yang menyifatkan beliau bersikap terbuka dan matang dalam menangani situasi tersebut.
Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar), pendekatan kerajaan di bawah kepimpinan Anwar amat berbeza dengan pemerintahan masa lalu yang melaksanakan tindakan keras, tangkapan dan sebagainya menghadapi unjuk rasa rakyat.
"PM Anwar pula memberi respon terbuka dan matang, bersama-sama pihak berkuasa merancang dan menyusun langkah-langkah keamanan yang sangat berkesan.. segala-galanya berlansung tanpa ada provokasi daripada pihak kerajaan.
"Walaupun demonstrasi itu telah mencetuskan pelbagai negativiti dan disasarkan secara langsung kepada kepimpinan beliau, PM Anwar telah mengambil sikap terbuka dan profesional, malah menyampaikan ucapan penghargaan kepada peserta perhimpunan kerana mengamalkan hak berhimpun secara aman.
"Sikap ini mencerminkan komitmen PM Anwar terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah David lagi, figura politik berusia 77 tahun itu turut mempamerkan keyakinan diri dan kestabilan jiwa sebagai seorang pemimpin yang tidak mudah melatah atau bertindak balas dengan sebarang tekanan jalanan.
Dalam kepimpinan yang matang ujarnya, kemampuan membezakan antara bantahan politik dan keselamatan negara merupakan satu ciri yang unggul sebagai demoktrat.
"Kepercayaan (Anwar) kepada proses demokrasi dan saluran perundangan yang sah sebagai cara utama untuk menyelesaikan perbezaan pendapat.
"Tindak balas PM ini memberi contoh yang jelas kepada generasi pemimpin masa depan tentang bagaimana berhadapan dengan perbezaan pandangan secara beradab, berhemah dan rasional, tanpa mencetuskan ketegangan atau pertelingkahan," katanya sambil menzahirkan pujian terhadap keperibadian Anwar yang juga Presiden KEADILAN.
Comments