top of page

PM Guru disambut Dr Muizzu: Bincang tingkat perdagangan, pelaburan dua hala

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
7 hours ago
1 min read
DS Anwar berbincang bersama Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden Maldives. Foto: PMO
DS Anwar berbincang bersama Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden Maldives. Foto: PMO

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim @ PM Guru tiba di Izzudheen Faalan, Malé pagi tadi bagi memulakan rangka lawatan rasmi beliau ke Maldives.


Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke Republic Square untuk upacara pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Maldives National Defence Force.


Usai sambutan rasmi, Anwar bersama delegasi Malaysia menuju ke Pejabat Presiden bagi mengadakan pertemuan bersama delegasi Malaysia dan Maldives.


"Kami kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama sedia ada, di samping menangani beberapa isu berbangkit.


"Perbincangan merangkumi usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Maldives, serta memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan, pertahanan dan latihan, teknologi digital dan kecerdasan buatan serta industri halal," katanya dalam muat naik di media sosial.


Kedua duanya juga turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau, termasuk kesan perubahan iklim yang semakin mendesak yang mengancam kelangsungan negara Maldives.


"Saya menyatakan dukungan Malaysia terhadap suara tegas Maldives dalam memperjuangkan tindakan iklim yang lebih adil dan berkesan di pentas antarabangsa. Sebagai sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada lebih 1,000 pulau, Maldives berhadapan secara langsung dengan ancaman kenaikan paras laut dan perubahan iklim," kata Anwar lagi.


Selain itu, kunjungan tersebut menandai detik penting dalam hubungan persahabatan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik dimulakan pada 1968.


Lawatan berkenaan diharap dapat memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Maldives, selain membuka ruang kepada kerjasama baharu yang memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page