PM bukan mahu imuniti, elak jadi sasaran tindakan perundangan bermotif politik
- Suara Keadilan
- May 30
- 3 min read

Permohonan yang difailkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Persekutuan terkait kes saman sivil Yusoff Rawther ke atas beliau bukan bermaksud mahukan imuniti sebagaimana dilaporkan kebanyakan media tempatan sebelum ini.
Menurut Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hal sama yang dibimbangi oleh Lawyers For Liberty mendakwa PM cuba mendapatkan kekebalan undang-undang juga tidak tepat.
Sebaliknya, kata beliau, permohonan yang difailkan itu lebih kepada meminta mahkamah menentukan tafsiran terhadap persoalan perundangan khususnya melibatkan kedudukan seorang PM dalam menjalankan tugas rasmi.
"Saya merujuk kepada kenyataan Lawyers For Liberty yang mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mendapatkan kekebalan undang-undang dalam kes sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther.
"Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak tepat malah bersifat mengelirukan dan menanam persepsi yang salah kepada rakyat.
"Permohonan yang difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah satu proses yang sah di sisi undang-undang, bertujuan untuk mendapatkan tafsiran terhadap persoalan perundangan yang kompleks dan signifikan, khususnya melibatkan kedudukan seorang Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi ketika berdepan tindakan sivil atas dakwaan yang berlaku sebelum pelantikan," katanya dalam kenyataan.
Tegas Shamsul, amat tidak bertanggungjawab untuk menyamakan permohonan perundangan berkenaan dengan autoritarianisme.
Malah kata beliau, di negara-negara yang menjunjung demokrasi soal qualified immunity sering dibincangkan untuk mengimbangi antara keperluan pentadbiran negara dan hak individu.
"Tidak ada dalam permohonan tersebut sebarang cubaan untuk mendapatkan kekebalan mutlak. Sebaliknya, persoalan yang dibawa ialah sama ada tindakan sivil seperti ini boleh mengganggu kecekapan seorang Perdana Menteri dalam melaksanakan fungsi eksekutif negara.
"Ini adalah satu pertimbangan yang wajar dan sah untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, institusi kehakiman tertinggi negara yang mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir Perlembagaan secara adil dan objektif," ujarnya.
Menurut beliau lagi, mahkamah seharusnya menentukan apakah saman tersebut boleh menjejaskan Anwar sebagai ketua kerajaan kerana sebelum ini pihak PM telah menyatakan tuduhan yang dibuat ke atasnya merupakan rekayasa dan beliau menjadi mangsa ‘sabotaj reputasi bermotifkan politik’.
"Perdana Menteri bukan berada di atas undang-undang, tetapi beliau juga tidak harus dijadikan sasaran tindakan perundangan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
"Seandainya dakwaan ini benar (sabotaj reputasi), sistem kehakiman kita berfungsi dengan telus dan bebas untuk mendengar serta membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi dan tekanan media.
"Saya menyeru semua pihak agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak menyalahguna ruang undang-undang demi membina naratif politik.
"Serahkan kepada mahkamah untuk menilai. Negara ini telah melalui terlalu banyak episod manipulasi perundangan demi kepentingan politik. Segala pertikaian wajar diselesaikan melalui saluran perundangan, bukan dengan manipulasi emosi rakyat," katanya lagi.
Perdana Menteri baru baru ini memohon Mahkamah Persekutuan merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidik dalam kes terdahulu yang berlaku sebelum beliau menjadi PM.
Dalam permohonan difailkan firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaan beliau menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam. Sekiranya benar, sama ada saman itu perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.
Permohonan itu juga memohon penentuan sama ada PM semasa berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk ‘perlindungan daripada penggugat litigasi’ yang memfailkan saman yang ‘disusun secara strategik atau dipolitikkan untuk menjejaskan keupayaannya mentadbir’.
PM Anwar memohon memfailkan rujukan tersebut di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan.
Comments