top of page

PM bidas pihak perlekeh kerjasama ASEAN dengan pelbagai blok ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 22 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar berucap melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Selangor
DS Anwar berucap melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Selangor

Datuk Seri Anwar membidas sikap segelintir pihak yang meremehkan usaha Malaysia melibatkan pelbagai blok ekonomi dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini termasuk Brazil dan Afrika Selatan.


Perdana Menteri berkata, golongan tersebut tidak memahami sepenuhnya keperluan memperluaskan jaringan perdagangan dan pelaburan melibatkan pelbagai negara atas dasar "centrality" sebagai teras utama pertubuhan serantau itu.


"Kita sebutlah baru-baru ini, kita anjurkan ASEAN. ASEAN tapi Kanada ada, Eropah ada, Amerika ada, China ada, Jepun, Korea, India dan Australia, New Zealand, Brazil, South Africa. Apa dia ASEAN ini?


"Dia dah marah-marah saya, dia kata “Anwar ni sebut ASEAN, ASEAN. Apa South Africa kena mengena dengan ASEAN? Itu dia tak baca bab habis. Dia baca bab 1, dia tak baca bab 2.


"Sebab Malaysia dan ASEAN akan hanya berjaya kalau tingkatkan perdagangan, pelaburan di antara kita dan mula beri tumpuan kepada disiplin dan bidang baru termasuk digital dan AI," katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Selangor hari ini.


Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan negara ini perlu memperkuatkan jaringan dengan Amerika Syarikat (AS) kerana nilai eksport Malaysia ke negara itu tinggi.


"Import dia pun besar daripada Malaysia. Sebanyak 25% daripada keperluan E&E dan semikonduktor Amerika itu dari Malaysia, sekitar hampir RM200 bilion.


"Ribuan supply chain (rantaian bekalan), puluhan ribu pekerja, tetapi kita ada dasar yang disebut centrality. Maka kita berkawan dengan negara China," ujarnya.


Jelasnya China memiliki potensi perkembangan yang sangat pantas yang perlu dimanfaatkan oleh negara ini.


"Maka kita baik dengan negara China. Tetapi dengan baik dengan mereka, mereka boleh melabur, kita juga kena perluaskan jaringan perdagangan dan eksport.


"Yang tradisional dan potensi Afrika dan Latin America itu besar. Maka kita mula menembus tembok-tembok yang wujud, membuka ruang dan itu sebabnya mengapa hubungan kita dengan Brazil dan Afrika Selatan tambah baik," jelas beliau.


Kata Perdana Menteri, semua langkah tersebut dilakukan untuk masa depan negara.


Namun jelas beliau perkara itu telah dimanipulasi dari segi politik dengan meletakkan kesalahan pada kerajaan kerana meningkatkan hubungan dengan kedua-dua kuasa besar AS dan China.

"Tentunya dari segi politik kita kena terangkan lah, baik dengan Amerika pun salah, baik dengan China pun salah, baik dengan India pun tak betul. Jadi, nak kena baik dengan Kelantan dan Terengganu. Itu pun saya baik. Saya sebut. Dia tak ada masalah," katanya.


Anwar menekankan bahawa usaha memperluaskan hubungan dengan pelbagai blok ekonomi dilakukan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai negara dagang.


"Bila trading nation itu kena buka ruang pelaburan yang lebih luas. Itulah sebabnya mengapa kita bertegas," katanya.


Tambah beliau Malaysia juga sudah sampai ke tahap perlu meningkatkan bidang perdagangan dan pelaburannya termasuk ke dalam bidang yang lebih berdaya saing.

"Takkanlah kita nak ada syarikat-syarikat tekstil sekadar kilang kain. Okay, tak ada salah, boleh buat. Tetapi, ada yang baru. Ini yang disebut dalam dasar kita transformasi digital dan juga AI.


"Bukan sekadar umpamanya buat bagi pihak orang lain, tapi kita sendiri sebab itu inovasi itu, daya cipta itu menjadi salah satu tonggak dalam Ekonomi MADANI," jelas beliau.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page