Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan peneraju perniagaan dan eksekutif tertinggi daripada 18 syarikat Australia di Melbourne hari ini ketika dalam rangka lawatan rasminya ke Australia bagi menggalakkan mereka mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia.
Selain sesi perbincangan meja bulat, PM turut mengadakan pertemuan empat mata dengan setiap pemimpin tersebut untuk mendengar pandangan mereka.
Eksekutif syarikat yang terlibat adalah daripada sektor pembuatan termasuk peranti perubatan dan logam selain bidang perkhidmatan seperti pusat data, kewangan dan perdagangan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia di bawah pentadbirannya telah melaksanakan dasar yang jelas dan berkesan bagi menyumbang kepada tahap pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata kerajaan yang kukuh pada masa ini menjadi faktor utama untuk menarik pelabur ke Malaysia.
"Kami telah memperkenalkan dasar baharu dengan jelas dan hasilnya, kami telah meraih pelaburan perdagangan domestik dan asing tertinggi dalam sejarah (Malaysia)," katanya dipetik Bernama.
Bulan lepas, Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.
Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Pada 2023, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion) dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.
Sehingga Disember tahun lepas, Australia mempunyai pelaburan diluluskan di Malaysia yang melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan sebanyak 366 projek.
Comments