top of page

PM Anwar teroka peluang pengembangan ekonomi melalui BRICS

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 13
  • 3 min read

BRICS merupakan kerjasama ekonomi antara kerajaan yang tidak disominasi oleh kuasa besar
BRICS merupakan kerjasama ekonomi antara kerajaan yang tidak disominasi oleh kuasa besar

Oleh: Hasbul Ahmad


Sidang kemuncak pemimpin BRICS yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini membuka lembaran baharu kepada Malaysia dan rantau ASEAN dalam membentuk kerjasama strategik serantau dan global, terutamanya dalam usaha mewujudkan tatanan dunia yang lebih seimbang, adil dan pelbagai kutub.


Pakar geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kehadiran Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS yang turut disertai kementerian-kementerian utama berkaitan menunjukkan keterlibatan aktif negara dalam menyusun jaringan politik dan ekonomi yang strategik.


"Apabila Perdana Menteri berjumpa dengan pengerusi BRICS Brazil, Presiden Lula beliau mengatakan bahawa ASEAN adalah kawasan yang stabil di mana jika dikatakan pelaburan diadakan di situ, pelaburan itu akan selamat, di mana ASEAN akan menentukan dan memberi tekanan bahawa Selat Melaka itu tidak akan ditutup, tidak akan ada konflik di kawasan itu dan juga di Laut China Selatan.


"Walaupun berlaku pertikaian antara China dan Amerika Syarikat tetapi ASEAN mengambil pendekatan untuk berbaik dengan kedua-dua negara supaya tidak berlaku konflik. Ini yang diyakinkan oleh Perdana Menteri dan juga pengerusi ASEAN," kata Profesor Azmi kepada Suara Keadilan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Brazil pada 6 Julai lalu, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 adalah sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025.


Sidang kemuncak ini merupakan perhimpunan julung kali melibatkan ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota dan rakan BRICS dengan Malaysia secara rasmi menyertai sebagai Negara Rakan BRICS mulai 1 Jan 2025.


Perdana Menteri turut menyampaikan Kenyataan Negara dalam dua sesi utama bertajuk: "Memperkukuh Multilateralisme, Ekonomi-Kewangan dan Kecerdasan Buatan (Al) serta "Alam Sekitar, COP30 dan Kesihatan Global".


Isu nyah-dolar dan model ASEAN


Dalam perkembangan berkaitan Profesor Azmi Hassan berkata isu de-dollarisation (nyah dolar) antara yang menjadi perbincangan sidang, namun BRICS masih tidak mencapai kata sepakat berhubung mata wang alternatif.

Profesor Dr Azmi Hassan
Profesor Dr Azmi Hassan

Katanya, Malaysia mengambil pendekatan pragmatik seperti diamalkan ASEAN, di mana negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia telah pun menjalankan perdagangan dua hala menggunakan mata wang masing-masing, iaitu Ringgit dan Rupiah.


"BRICS tidak boleh, tak sampai persetujuan untuk menggunakan mata wang yang mana. India nak gunakan Rupiah, China nak gunakan Yuan untuk menggantikan Dolar Amerika itu. Sampai sekarang ia tidak dipanjangkan dalam BRICS.


"Tapi Datuk Seri Anwar mencadangkan cara ASEAN. Sebagai contoh jikalau Malaysia berdagang dengan Indonesia, kita menggunakan mata wang sendiri, Rupiah dan juga Ringgit Malaysia.


"Itu yang dicadangkan kepada BRICS. Kalau buang Dolar, mungkin menaikkan kemarahan Trump. Jadi ini yang dikatakan cara ASEAN, secara bilateral mengamalkan konsep de-dollarisation, tidak menggunakan Dolar dalam dagang antara dua negara.


"Ini yang dicadangkan oleh Perdana Menteri kepada BRICS yang sebahagian besarnya dalam Global Selatan," kata Profesor Azmi lagi.


Tambah beliau, dalam konteks semasa Malaysia sentiasa menegaskan komitmennya terhadap dunia multilateralisme yang adil dan inklusif dalam landskap global yang semakin terpolarisasi.


Ujarnya, kerjasama dengan negara-negara BRICS membuka potensi pasaran baharu dan rantaian bekalan alternatif buat industri Malaysia.


Namun peluang itu menuntut kesiapsiagaan bukan sahaja dari aspek pelaburan modal dan teknologi, malah keupayaan intelektual dan emosi warga industri tempatan dalam menyesuaikan diri dengan pasaran asing yang lebih mencabar.


"Malaysia melihat kemunculan blok-blok baharu seperti BRICS, kerjasama ASEAN-GCC-China, serta kerjasama Global Selatan sebagai satu realiti ekonomi geopolitik masa depan.


"Dalam menghadapi dunia tanpa kuasa tunggal atau ‘unipolar’, negara-negara membangun perlu mengimbangi kepentingan antara kuasa-kuasa besar dengan mengekalkan kebebasan dasar dan kedaulatan ekonomi.


"Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia bukan berpihak kepada mana-mana kuasa, tetapi memilih untuk menjadi jambatan perantara — strategi yang semakin relevan dalam era polarisasi global," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page