PM Anwar terima sambutan rasmi penuh istiadat di Ashgabat
- Helmi Mohd Foad

- 6 hours ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden, Ashgabat hari ini yang mencerminkan hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Turkmenistan.
Perdana Menteri berkata istiadat berkenaan menggambarkan keakraban hubungan dua hala yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara selain menjadi simbol komitmen untuk memperkukuh kerjasama strategik.
Usai istiadat sambutan rasmi itu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata bersama Berdimuhamedov dalam suasana penuh mesra bagi membincangkan hala tuju hubungan serta peluang memperluaskan kerjasama antara Malaysia dan Turkmenistan.
"Pertemuan ini memberi ruang untuk meneliti secara mendalam hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Anwar memulakan agenda rasmi di Ashgabat dengan menghadiri Istiadat Meletakkan Bunga dan Menanam Pokok di Independence Monument of Turkmenistan sebagai tanda penghormatan terhadap sejarah, kedaulatan serta perjuangan pembentukan negara itu.
Monumen berkenaan dibina bagi memperingati kemerdekaan Turkmenistan daripada Kesatuan Soviet pada 1991 dan menjadi simbol utama kedaulatan serta identiti negara moden itu.
Menurut Anwar, majlis tersebut turut mencerminkan hubungan persahabatan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Turkmenistan yang berteraskan nilai saling menghormati, kepercayaan serta komitmen untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan dijangka membuka ruang baharu dalam mempererat hubungan dua hala, termasuk kerjasama ekonomi, perdagangan serta bidang strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.




Comments