PM Anwar sanjung semangat rakyat, petugas jayakan Hari Kebangsaan
- Azuan Ab Rahman

- 4 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas dan rakyat yang menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun yang berlangsung semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia.
"Salut saya kepada seluruh petugas yang telah mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
"Daripada anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni, warga media hinggalah anak-anak dan para sukarelawan, setiap daripada kalian telah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka," katanya dalam hantaran tersebut.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini menghimpunkan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, selain 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.
Turut menjadi tumpuan ialah paparan 328 aset darat, laut dan udara, selain penyertaan 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan yang memeriahkan acara perbarisan dan perarakan.
Dalam hantaran sama, Anwar turut menyampaikan rasa terharu dan menghargai kesanggupan rakyat yang membanjiri Putrajaya seawal malam Ahad demi menjayakan sambutan tersebut.
"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya demi bersama-sama memeriahkan sambutan ini. Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan.
"Semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi.
"Merdeka!", kata Perdana Menteri.




Comments