top of page

PM Anwar pemudah cara selesai kemelut tanah Orang Asli Sungai Cot

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Jul 24
1 min read

Isu pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot di Maran, Pahang dalam perhatian Perdana Menteri.


Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata Perdana Menteri sendiri akan membawa isu tersebut kepada perhatian Kerajaan Negeri Pahang serta memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan ia dapat diselesaikan dengan segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang.


Menurut beliau, komitmen itu dizahirkan susulan pertemuan wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot bersama Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) di kediaman rasmi Perdana Menteri pada Rabu.


"Perdana Menteri akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan.


"Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada kerajaan negeri dalam urusan tanah. Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri," katanya dalam kenyataan.


Isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.


Pertikaian itu dipercayai membabitkan tanah diusahakan penduduk Orang Asli, namun kawasan berkenaan didakwa mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.


Sementara itu Muhammad Kamil menerusi kenyataan sama turut menyeru Kerajaan Negeri Pahang supaya segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya kerana hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan.


"Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page