top of page

PM Anwar mahu ilmu turath diangkat, jadi asas bina negara berakhlak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 22
  • 1 min read

PM menekankan keperluan generasi baharu diperkenalkan dengan warisan keilmuan Islam bagi perbaiki akhlak
PM menekankan keperluan generasi baharu diperkenalkan dengan warisan keilmuan Islam bagi perbaiki akhlak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan mengangkat semula warisan keilmuan Islam atau turath sebagai asas penting dalam membentuk negara yang berteraskan nilai, akhlak dan kefahaman Islam yang menyeluruh.


Menurut beliau, sebahagian umat Islam hari ini tidak lagi berakar kepada budaya ilmu yang kukuh menjadikan mereka mudah dipengaruhi fahaman ekstrem dan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.


"Menghidupkan kembali turath, legasi keilmuan Islam sejak lebih 1,000 tahun lalu, adalah langkah utama dalam menangani permasalahan yang membelenggu umat Islam.


"Ini bukan sekadar koleksi kitab lama, tetapi khazanah ilmu yang merangkumi tasawuf, fiqah, tafsir dan hadis yang membentuk kefahaman Islam mendalam dan menyeluruh," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Julai di Putrajaya pada Isnin.


Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasa pendidikan Islam, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa institusi pondok dan tahfiz, dengan menggabungkan kekuatan tradisi ilmu tersebut bersama pendidikan moden seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


"Kita mesti kuasai teknologi dan kecerdasan buatan (AI), tetapi jangan sampai tercabut dari akar. Nilai, agama dan turath perlu menjadi asas dalam setiap kemajuan yang dicapai," katanya lagi.


Dalam pada itu, beliau menyeru agar lebih banyak ruang diberikan kepada golongan ulama pondok dalam majlis-majlis rasmi arus perdana, termasuk menyampaikan doa dan ucapan, sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam pembangunan spiritual umat.


"Kerajaan MADANI menghormati peranan ulama, dan kita mahu mereka terus menyumbang kepada pembentukan jiwa bangsa yang beradab, berilmu dan beriman," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page