PM Anwar kutuk serangan bunuh 8 petugas MAPIM di Gaza
- Suara Keadilan
- Mar 19
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk serangan udara rejim Israel yang mengorbankan lapan petugas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang di Bayan Lepas semalam beliau memaklumkan Malaysia sudah mengeluar bantahan rasmi terhadap keganasan berterusan rejim Zionis.
"Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk (misi) kemanusiaan seperti membantu pesakit dan sebagainya.
"Kerajaan secara rasmi mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan berterusan," katanya dipetik.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby pada Isnin mengesahkan lapan petugas warga Palestin syahid dalam serangan di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad terkorban ketika sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel di Gaza.
Comments