PM anggap kemenangan PRK Ayer Kuning petanda positif sokongan rakyat
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning Sabtu lalu dianggap isyarat positif sokongan rakyat kepada Kerajaan Madani.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun kadar keluar mengundi yang rendah pada PRK itu namun petunjuk memberansangkan adalah perubahan undi anak muda dan orang Melayu terhadap calon Perpaduan.
"PM menyatakan kemenangan ini satu petanda positif di mana dilihat, walaupun jumlah keluar mengundi rendah dibanding PRU atau PRN namun kelihatan sokongan dari kalangan pengundi muda telah menunjukkan perubahan, juga kalangan pengundi Melayu menunjukkan perubahan positif.
"Dari 20 pusat daerah mengundi (PDM) 19 dimenangi BN manakala satu sahaja dimenangi PN. Itu pun dengan jumlah majoriti berkurangan (daripada Pilihan Raya Umum 2022).
"Dalam masa sama kita boleh lihat daripada beberapa PDM, di mana jumlah undi Parti Sosialis Malaysia mendahului atau melebihi Perikatan Nasional," katanya dalam sidang media di Putrajaya petang ini.

Bagaimanapun, kata Fahmi, PM mengingatkan agar jangan leka dengan kejayaan tersebut sebaliknya kerajaan perlu terus bekerja kuat untuk menyelesaikan masalah rakyat agar mendapat sokongan lebih baik dalam pilihanraya lebih besar.
"Namun PM minta kerajaan jangan berasa lega dengan keputusan ini tetapi lebih keras bekerja menyelesaikan masalah rakyat.
"Jelas rakyat mendambakan pentadbiran yang memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat serta menyelesaikan masalah dihadapi," katanya lagi.
Dalam PRK Ayer Kuning pada 26 April lalu calon BN, Dr Mohamad Yusri mendapat 11,065 undi manakala calon PN, Abd Muhaimin Malek mendapat 6,059 undi dan calon PSM Bawani KS memperolehi 1,106 undi. Dr Yusri berjaya meempertahankan kerusi tradisi BN yang dimenangi sejak beberapa siri pilihanraya itu.
留言