PM akan bangkitkan isu pertikaian tanah Orang Asli dengan Kerajaan Negeri
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran akan dibangkitkan bersama Kerajaan Negeri Pahang bagi mencari penyelesaian yang adil mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata demikian selepas berhubung menerusi telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli kampung berkenaan yang hadir di kediamannya petang semalam bagi menyampaikan permasalahan yang mereka hadapi.
"Saya sempat berhubung menerusi telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran yang hadir di kediaman saya petang tadi (semalam).
"Saya mendengar permasalahan yang dihadapi mereka terkait pertikaian tanah selain penahanan tiga penduduk Orang Asli dari kampung mereka," katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar turut memaklumkan bahawa tiga penduduk Orang Asli yang sebelum ini ditahan telah dibebaskan oleh pihak polis.
"Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak Polis," katanya.
Menurut beliau, memandangkan urusan berkaitan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, perkara itu akan dibawa ke perhatian pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
"Isu pertikaian tanah ini akan saya bangkitkan bersama Kerajaan Negeri memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa negeri," katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan atau memanipulasi isu berkenaan sehingga boleh mengeruhkan keadaan.
"Saya memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan perkara ini sebaliknya diselesaikan secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang," katanya.
Berdasarkan laporan media, isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suami beliau yang dikaitkan pertikaian.
Pertikaian membabitkan tanah diusahakan Orang Asli namun kawasan tersebut didakwa mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.
Akibat pertikaian itu, tiga penduduk Orang Asli dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.




Comments