PM 10 faham keperluan pembangunan Sarawak - Abun Sui
- Redzuan Shamsudin
- Mar 11, 2023
- 1 min read

Perdana Menteri ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu satunya PM sepanjang sejarah Malaysia yang memahami perlunya pembangunan di Sarawak diutamakan.
Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak, Abun Sui Anyit, tekad PM itu dibuktikan beliau dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 9 Mac lepas yang begitu banyak memperuntukan dana buat kemajuan Malaysia Timur.
"Perdana Menteri ke -10 mengakui Sarawak perlu bajet yang besar untuk dibangunkan. Antara petikannya, sebagai contoh, jika negeri di Semenanjung memerlukan RM10 juta bajet, Sarawak akan memerlukan RM100 juta kerana Sarawak masih sangat mundur dan perlu dibangunkan.
"Buktinya menurut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri telah bersetuju menaikkan peruntukan untuk Sarawak daripada RM16 juta setahun kepada RM300 juta setahun serta banyak lagi bukti yang lain.
"Kenyataan ini kita sokong dan rakyat Sabah serta Sarawak sewajarnya perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PM 10," kata Abun dalam satu kenyataan.
Oleh itu, menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, sebagai penduduk yang berasal dari kawasan pedalaman Belaga yang masih mundur, beliau menyeru agar kawasan itu dibangunkan dengan pesat bagi menghargai pengorbanan besar penduduk di sana yang telah memberi laluan kepada Kerajaan Persekutuan membina empangan mega Bakun sebelum dijual kepada Sarawak.
Tambahnya, dua empangan mega Murum dan Baleh juga berada dalam Parlimen Hulu Rajang.
"Oleh itu sangat wajar kawasan Belaga dibangunkan seperti kawasan lain di Sarawak.
"Apabila PM 10 ada tekad politik memajukan Sarawak seperti di daerah Belaga, saya merayu agar Kerajaan Sarawak berikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan kerana kita bersyukur mempunyai Perdana Menteri yang benar-benar memahami keperluan untuk membangunkan pedalaman Sarawak ketika ini," kata Abun Sui lagi.
Comments