PKS@BURSA dilancar, bantu perusahaan berpotensi tembus pasaran modal
- Suara Keadilan

- Jun 5
- 2 min read

Kerajaan MADANI memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta menerusi Program PKS@BURSA bagi membantu 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi tinggi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, program tersebut yang dilaksanakan menerusi SME Corp Malaysia bertujuan membina saluran lebih kukuh bagi melahirkan lebih banyak syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan.
Jelasnya, menerusi inisiatif tersebut, syarikat yang layak boleh memanfaatkan Dana Penyenaraian PKS yang menawarkan pembiayaan antara RM2 juta hingga RM5 juta pada kadar keuntungan tidak melebihi lima peratus bagi tempoh sehingga lima tahun.
Pembiayaan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan modal kerja, keperluan pembiayaan korporat serta perbelanjaan berkaitan persediaan penyenaraian awam, sekali gus membantu syarikat menguruskan kos yang terlibat dalam proses penyenaraian.
"Syarikat yang menyertai PKS@BURSA layak menerima rebat sehingga 20 peratus sekiranya berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun.
"Ini sekali gus membantu mengurangkan kos persediaan penyenaraian serta menggalakkan lebih banyak PKS berpotensi tinggi untuk mengakses pasaran modal," katanya dipetik.
Terdahulu beliau hadir melancarkan program PKS@Bursa dan merasmikan inisiatif ‘Road to IPO’ di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
PKS@BURSA dirangka bagi menangani dua cabaran utama yang dihadapi syarikat sedang berkembang iaitu kos persediaan penyenaraian serta keperluan keupayaan untuk memasuki pasaran modal.
Menurut Steven Sim, program berkenaan bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti bagi memenuhi keperluan tadbir urus dan pengurusan yang diperlukan PKS untuk memasuki pasaran modal.
"Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak syarikat tersenarai tetapi untuk melahirkan lebih banyak syarikat yang berkeupayaan untuk disenaraikan.
"PKS@BURSA menyokong aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal negara dan memperluaskan akses kepada pembiayaan pertumbuhan bagi perusahaan tempatan," jelasnya.




I found eggy car through a gaming forum recommendation and ended up playing much longer than expected. Unlocking new vehicles keeps the gameplay interesting.