Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penutupan semua sekolah kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dikuatkuasakan esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah menghubungi Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin dan mendapat persetujuan kerajaan pusat untuk menutup sesi persekolahan sebaik sahaja PKP bermula.
"Atas beberapa perkara kita selidik, kita cadangkan semua institusi pendidikan di Selangor, tidak terhad di kawasan PKP, akan ditutup bermula 6 Mei ini.
"Saya sendiri berhubung dengan Dr Radzi Jidin. Beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian (Pendidikan) telah bersetuju (penutupan sekolah).
"Justeru esok semua sekolah-sekolah di Selangor, sekolah harian dan sekolah di bawah Jabatan Agama Islam ditutup dan diharap sekolah swasta juga dapat menurut arahan ini untuk tidak beroperasi sehingga selepas hari raya atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dimulakan," katanya dalam pengumuman khas petang tadi.
Pada masa sama, Amirudin juga mengumumkan akan menutup operasi bazar Ramadan mulai Sabtu, 8 Mei bagi menyekat merebaknya Covid 19.
Bagaimanapun, kata beliau, bazar raya dan pasar malam akan dibenarkan terus beroperasi dengan SOP lebih ketat.
"Kita telah buat keputusan bahawa semua bazar Ramadan tidak dibenar beroperasi di Selangor mulai Sabtu, 8 Mei 2021.
"Ini untuk beri peluang pemilik gerai atau pengurus bazar Ramadan selesaikan beberapa tugasan mereka, terutama untuk selenggara dan uruskan stok-stok yang mungkin mereka telah kumpulkan.
"Dengan ambil kira jumlah hari niaga telah mencecah 25 hari menjelang Jumaat, kita tidaklah begitu kejam," katanya.
Untuk pampasan penutupan itu, MB mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap peniaga bazar Ramadan yang terjejas.
Manakala bazar raya dan pasar malam yang dibenarkan beroperasi pula dihadkan sehingga jam 10 malam.
"Jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan atau premis. Kalau 100 meter persegi 100 orang, kita turunkan 50 orang. Ini tanggungjawab pengurus premis atau kawasan
"Kita wajibkan guna sistem nombor giliran untuk pastikan berapa pengunjung pada satu-satu waktu dan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.
"Semua pengurusan bazar wajib melantik pegawai pemantau bagi memastikan pematuhan SOP dikuatkuasakan. Mereka juga perlu kerap kali mengulang pengumuman kepada pengunjung agar SOP dipatuhi," katanya.
PKP di Selangor akan bermula esok sehingga 17 Mei di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
PKP itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam bagi mengurangkan jangkitan kes Covid yang tinggi di Selangor.
Commentaires