
Kerajaan Perikatan Nasional digesa memberi lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat marhaen, terutamanya golongan B40 yang terperangkap dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim, rakyat memang bersyukur dengan bantuan tunai yang diumum kerajaan, namun dengan jumlah RM500, tidak banyak barang keperluan yang boleh dibeli jika ahli keluarga ramai.
"Saya sambut baik pihak kerajaan bagi peruntukan (kepada rakyat) juga ada beri peruntukan kepada Ahli Parlimen untuk menolong rakyat.
"Saya dalam masa sama Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH, suka menyatakan kita ucap terima kasih atas bantuan tunai (diumum kerajaan). Tetapi kami rasa jumlahnya tidak cukup.
"Kami menyokong saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tambah bantuan). Sekarang B40 dah jadi B60. Golongan menengah dah jadi berpendapatan rendah. Selagi lockdown kerajaan mesti beri RM1,500 sebulan. Lockdown bukan sampai setahun pun. Kalau setakat RM500, RM300, kami rasa tak cukup, rakyat kesusahan
"Pihak bank pula kita mahu ada moratorium tanpa faedah. Itu yang kita kehendaki," katanya ketika menyampaikan bantuan bakul makanan di Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu lagi, sepanjang lawatan dan usaha beliau memberi bantuan, beliau mendapati banyak rakyat yang kehilangan kerja, dipotong pendapatan atau telah lama menganggur yang memerlukan bantuan tunai mencukupi.
Apatah lagi, katanya, PKP mungkin akan berlangsung selama beberapa bulan lagi.
Comments