
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sepatutnya mengajar menteri-menteri kabinet Kerajaan Perikatan Nasional memperbaiki diri selepas dikecam keras rakyat apabila berlaku double standard penguatkuasaan undang-undang ke atas orang kenamaan sepanjang pelaksanaan PKP 1.0 lalu.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir, adalah sangat tidak wajar apabila sekali lagi menteri-menteri bebas melanggar Prosidur Operasi Standard (SOP) pada PKP kali ini dengan muncul menghadiri majlis yang terang-terang tidak dibenarkan undang-undang
Katanya, insiden Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun baru-baru ini melakukan lawatan kerja di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi amat sangat tidak boleh diterima.
"Pelanggaran SOP oleh menteri sekali lagi terjadi melalui lawatan kerja Senator Datuk Seri Tengku Zafrul, ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi pada 24 Januari 2020 yang turut disertai Datuk Seri Rina Harun

"Berdasarkan maklumat atau tentatif yang saya terima serta gambar-gambar yang dimuat naik di Facebook Menteri Kewangan, aktiviti semasa program tersebut jelas melanggar SOP Am PKP yang dikemaskini pada 22 Januari 2021 berhubung arahan tidak membenarkan sebarang majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta termasuklah aktiviti seperti mesyuarat, bengkel pameran, serta aktiviti lain yang berkaitan.
"Apakah rasional bagi aktiviti demonstrasi kepada Menteri serta aktiviti simbolik seperti memberi makan lobster ketika Darurat dan PKP2.0?
"Malah lebih membimbangkan, Rina Harun yang telah disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari yang lalu turut hadir. Jika mengikut tempoh standard kuarantin iaitu 14 hari, tempoh kuarantin beliau sepatutnya berakhir pada 25 Januari 2020. Bukankah ini suatu tindakan amat tidak bertanggungjawab oleh Menteri yang berpotensi menyebar virus kepada umum?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, rakyat semakin muak dengan sikap menteri yang sentiasa mengatasi peraturan. Sebelum ini, katanya netizen mengecam kunjungan Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali ke Johor pada 17 Januari lalu yang disertai mesyuarat dan jamuan makan.
Bagaimanapun, pelanggaran SOP tetap terjadi seolah-olah kerajaan telah mewujudkan dua set undang-undang.
"Situasi jadi berbeza kepada rakyat biasa. Seperti yang berlaku di Segamat, Johor apabila seorang wanita yang dikatakan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebaik sahaja turun dari kereta yang diparkir dihadapan kafe, beliau segera disaman walaupun terdapat bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) bahawa kawasan tersebut lengang," katanya lagi.
Justeru, Akmal menggesa kerajaan segera merobah pendekatan yang berat sebelah atau dua darjat. Tatkala rakyat segera diambil tindakan, katanya, menteri tidak wajar berterusan bebas melanggar undang-undang.
Comments