PKD, NADI perlu bergerak berorientasikan masa hadapan
- Suara Keadilan

- 13 minutes ago
- 1 min read

Masyarakat luar bandar perlu dipastikan tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya memiliki kemahiran dan keyakinan memanfaatkan kelebihan teknologi bagi meningkatkan taraf hidup serta peluang ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, sehubungan itu Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu bergerak berorientasikan masa hadapan agar terus relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
"Perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan dalam talian serta perubahan landskap pekerjaan menuntut pusat komuniti kerajaan untuk terus relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
"Dengan kekuatan yang dimiliki oleh PKD dan NADI, saya percaya terdapat ruang yang besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya dipetik laporan media.
Beliau sebelumnya menyampaikan ucapan di Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD, KKDW dan NADI, Kementerian Komunikasi di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di Cyberjaya pada Isnin.
Menurut Fahmi, setakat ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara dengan lebih dua juta pengguna, manakala 191 PKD turut mempunyai kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat.
Ketika ini NADI jelasnya telah berkembang melangkaui fungsi menyediakan komputer dan capaian Internet dengan menghubungkan rakyat kepada kemahiran, peluang serta perkhidmatan kerajaan.
Ia dilaksana menerusi Program Perkhidmatan Pintar NADI yang merangkumi lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan.




Comments