top of page

Pindah wang dari projek LCS ke syarikat persisir ulangi skandal 1MDB?



Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat yang didedahkan pada 2016 lalu menunjukkan berlakunya pemindahan wang kerajaan Malaysia daripada 1MDB ke Singapura dan kemudian ke syarikat persisir yang tidak melakukan perniagaan sebenar, untuk kemudiannya diagih agihkan kepada kroni bekas Perdana Menteri.


Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, skandal terbaharu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga mempunyai jejak kewangan yang hampir sama dalam segelintir transaksi pembekalan alat kelengkapan kapal.


"Syarikat pesisir luar pantai (“offshore incorporated company”) telah dinamakan di dalam siasatan dalaman sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk memindahkan wang dari projek LCS ke akaun-akaun di luar negara.


"Syarikat yang dinamakan adalah Alizes Marine Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malta. Syarikat ini juga dinamakan di dalam siri pendidihan Panama atau Paradise Papers yang mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang dari aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.


Dakwa beliau, setelah siasatan dalaman menyemak invois-invois dari pembekal-pembekal tertentu, pasukan penyiasat menemui sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta.


Dakwa mantan Ahli Parlimen Pandan itu lagi, apabila pembekal-pembekal tersebut dijejaki, syarikat sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu. Malah, dakwanya semakan menunjukkan bayaran dibuat ke akaun-akaun lain.


"Modus operandi yang digunakan mirip kaedah yang digunakan untuk mencuri wang 1MDB. Syarikat-syarikat palsu ditubuhkan di seluruh dunia yang namanya menyamai sebuah syarikat yang benar-benar wujud.


"Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan," katanya membandingkan jejak kewangan 1MDB sedekad lalu.


Dakwa Rafizi lagi, Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France).


Pengurusan projek LCS, dakwanya, dimaklumkan Alizes Marine France mempunyai lesen eksport sedunia (“global export license”) yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan. Pengurusan projek LCS melantik Alizes Marine atas pertimbangan ia mempunyai lesen eksport sedunia.


Namun dakwa Rafizi, maklumat itu palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.


Katanya, dengan menggunakan cara berkenaan sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki.


"Sebab itu saya bertegas skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa dari seorang pesara Panglima Tentera Laut yang didakwa baru-baru ini.


"Jika skim-skim yang melibatkan syarikat-syarikat pesisir pantai dituduh bersabit dengan DCNS (syarikat pembekal), dan DCNS mempunyai rekod membayar rasuah kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak semasa skandal Scorpene dahulu, maka wajarlah rakyat terus menuntut siasatan untuk mengetahui siapa dalang sebenar yang mempunyai kuasa melindungi DCNS.


"Hanya Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussin yang boleh menjawab soalan ini," katanya lagi.


Untuk rekod, DCNS yang membekalkan kapal selam Scorpene dilantik sebagai pembekal utama projek LCS dengan menerima teknologi dan rekabentuk kapal Gowind daripada syarikat Perancis itu berbanding rekabentuk Sigma yang berasaskan teknologi Belanda yang diminta oleh TLDM sebelumnya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page