Pindah ladang babi ke Bukit Tagar dipercepat, ternakan di Kuala Langat tamat
- Suara Keadilan
- 47 minutes ago
- 2 min read

Operasi penternakan babi yang sepatutnya dipindahkan 2030 ke Bukit Tagar, Hulu Selangor akan dipercepatkan kepada tahun ini, demikian kata Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim (gambar).
Sejurus itu, aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat akan ditamatkan sepenuhnya.
Beliau berkata pemindahan itu bermula selepas isu pengambilan tanah oleh pemilik swasta dan penternak selesai dengan Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan dari dana awam.
"Isu tanah kita akan percepatkan. Tidak akan menggunakan duit daripada Kerajaan Negeri, ini usaha antara pihak swasta, Kerajaan Negeri hanya jadi pemudah cara," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
"Operasi penternakan di Kuala Langat akan ditamatkan, kita tidak akan keluarkan lesen lagi selepas ini."
Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima Izham dan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Ng Suee Lim mengadap bagi membentangkan berkenaan isu pemindahan ladang penternakan babi di Kuala Langat.
Izham berkata lokasi penternakan baharu di Bukit Tagar yang meliputi 500 ekar tanah adalah jauh daripada kawasan penduduk tempatan.
"Kita akan beri masa penternak pindah. Penternakan itu akan jadi satu tempat sahaja iaitu Bukit Tagar, kawasan itu kawasan (lupus) sampah," katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan Selangor tidak ada rancangan mengeksport babi malah bekalan haiwan ternakan itu hanya mampu memenuhi 30 peratus keperluan buat golongan bukan Islam di negeri tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, Sultan Selangor menitahkan supaya populasi maksimum ternakan (SPP) babi diteliti semula dengan lebih tepat supaya tidak menjurus kepada aktiviti eksport.
"Sekarang kita pada tahap 30 peratus untuk keperluan di Selangor. Jadi, tidak timbul isu eksport sebagaimana dimainkan pembangkang.
"Ada yang timbulkan kata Selangor nak jadi pengeksport babi terbesar, sejak bila pula? Saya tekankan tak pernah (berhasrat begitu). Daripada mana mereka dapat angka begitu?
"Nak eksport macam mana kalau keperluan (orang bukan Islam) untuk negeri pun tak cukup," katanya.
Beliau berkata setakat ini dianggarkan 100,000 ekor babi diternak melibatkan 115 ladang masing-masing di Kuala Langat dan Sepang.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan butiran perbincangan selama 45 minit dengan Sultan Sharafuddin pada Isnin ke MMKN pada Rabu ini.





