top of page

Pindaan Akta FINAS 1981: Jamin ekosistem industri kreatif lebih mapan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik langkah Kerajaan Malaysia membentangkan pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244), yang disifatkan sebagai usaha penting untuk memperkukuh tadbir urus dan hala tuju industri kreatif negara.


Dalam satu kenyataan, Pengerusi biro berkenaan, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar), menyatakan bahawa pindaan tersebut membuka ruang kepada ekosistem seni dan kandungan digital yang lebih teratur, telus dan progresif.


"Langkah tersebut wajar dipuji kerana menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus serta hala tuju industri kreatif dan seni tanah air. Pindaan ini secara jelas membuka ruang kepada ekosistem industri yang lebih teratur, telus dan progresif, selari dengan perkembangan pesat sektor kandungan digital pada hari ini," kata beliau.


Namun katanya, AMANAH berpandangan masih terdapat ruang penambahbaikan bagi menjamin perkembangan industri kreatif Malaysia yang lebih mapan dan berdaya saing di peringkat global.


Mengulas lanjut, Wan Anwar turut mengusulkan mekanisme pembayaran royalti bagi para pelakon dan karyawan seni setiap kali karya mereka ditayangkan semula, termasuk di platform digital.


"Biro ini mencadangkan agar satu mekanisme pembayaran royalti diperkenalkan. Royalti ini harus diberikan setiap kali drama, filem atau apa-apa kandungan lakonan mereka ditayangkan semula, termasuk dalam platform digital dan penstriman.


"Langkah ini bukan sahaja menjamin pendapatan lebih adil kepada penggiat seni, tetapi turut mengiktiraf sumbangan mereka dalam menarik minat penonton dan merancakkan ekonomi industri hiburan," katanya.


Selain itu, AMANAH mencadangkan supaya produksi yang menerima dana kerajaan dan mencatat keuntungan memperuntukkan sebahagian pulangan modal kepada FINAS.


Menurut kenyataan itu, model tersebut tidak hanya mengukuhkan dana pembangunan industri, malah memberi peluang lebih besar kepada pemain industri lain untuk menerima sokongan.


Biro berkenaan juga menekankan pentingnya peningkatan kemahiran dan keupayaan artis serta tenaga kerja kreatif negara melalui latihan profesional bertaraf global; kolaborasi dengan studio antarabangsa; geran pembangunan kandungan berorientasikan eksport; dan sokongan penglibatan ke festival filem utama dunia.


"Pemerkasaan ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi industri kreatif, tetapi turut meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab penghasilan kandungan berkualiti tinggi," jelas Wan Anwar.


Selain itu, katanya, AMANAH berpendapat pindaan Akta FINAS akan menjadi lebih menyeluruh jika disertakan inisiatif tambahan yang dicadangkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page