Pinda Akta Tabung Haji: Kerajaan MADANI kukuhkan tatakelola
- Azuan Ab Rahman

- Aug 17
- 1 min read

Pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan dilaksana bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pindaan tersebut sebahagian langkah Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.
"Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam," katanya menerusi hantaran Facebook.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC pada Sabtu mempertahankan kewujudan unsur “sakau” atau penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan kepad umum baru-baru ini mengesan kerugian hampir RM13 bilion akibat 14 pelaburan bermasalah, mencetuskan tangkapan SPRM terhadap bekas pengurusan, desakan reformasi tadbir urus, dan siasatan lanjut terhadap ketidaksepadanan aset individu terlibat.
Sementara itu dalam hantaran sama, Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan beliau akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat dengan lebih baik tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.
Rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga wajar dibela kerana amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu tetapi kepada seluruh rakyat dan negara.




Comments