Pimpinan PH Wilayah Persekutuan kukuhkan saf reformasi
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan malam tadi memperkukuh iltizam memperjuangkan reformasi pentadbiran dan kebajikan rakyat bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Dr Zaliha, sesi temu rapat yang julung kali diadakan itu memperuntukkan masa untuk bertukar idea memperbaiki gerak kerja PH di Wilayah Persekutuan supaya lebih padu dan mengakar umbi.
"Sesi ini diadakan sebagai medan memperkukuh muafakat, menyelaras gerak kerja dan menyatukan hala tuju bersama demi memastikan kebajikan dan kemaslahatan rakyat Wilayah Persekutuan terus menjadi keutamaan.
"Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkuatkan saf kepimpinan, memperteguh semangat reformasi dan terus melangkah ke hadapan dengan tindakan yang terarah dan berprinsip. Tidak ada ruang lagi untuk kita beretorik," katanya dalam muat naik di Facebook.

Beliau berharap sesi malam tadi akan memberkas, melahirkan idea mantap dan PH lebih kukuh dalam gerak kerja politik mahupun kerajaan.
"InsyaAllah, dengan sokongan dan dukungan padu daripada seluruh pimpinan komponen, saya akan terus memikul tanggungjawab ini dengan penuh iltizam demi membina Wilayah Persekutuan yang lebih progresif dan sejahtera," katanya lagi.
Antara yang hadir malam tadi adalah pimpinan dan Ahli Parlimen KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Andre Lai, Zahir Hassan; pimpinan DAP, Teresa Kok, Tan Kok Wai, Lim Lip Eng; pimpinan AMANAH Khalid Samad dan lain lain.