
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KPKT) Zuraida Kamaruddin ternyata telah hilang kesungguhannya memperjuangkan pilihan raya Kerajaan Tempatan atau PBT yang dilaung-laungkannya sejak sedekad lalu.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, perjuangan Zuraida telah berakhir apabila membuat pusingan - U setelah dibantah keras oleh sekutu beliau dari Umno dan Pas.
"Saya berasa amat kecewa terhadap kenyataan yang dibuat oleh Zuraida bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.
"Kenyataan terbaru ini telah bercanggah dengan kenyataan beliau yang diberikan di Dewan Rakyat hampir sebulan yang lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Malim itu, pada 14 Julai lalu, Zuraida menjawab soalan di Parlimen mengenai perkembangan pelaksanaan pilihan raya PBT dengan mengatakan KPKT telah menubuhkan jawatankuasa polisi dan operasi untuk mempertimbangkan isu perundangan, implikasi kewangan dan kaedah serta mekanisme pelaksanaan.
Ketika itu, beliau juga memberi jaminan bahawa KPKT akan membentangkan kertas kerja berkenaan kepada kabinet pada pertengahan 2021. Namun tidak sampai sebulan, menteri telah menyanggah kenyataan sendiri.
Menurut Lih Kang lagi, pilihan raya PBT amat baik untuk memperkukuhkan demokrasi tempatan.
"Mungkin ada isu-isu khusus yang perlu ditangani sepanjang proses tersebut, namun perkara itu harus diberi pertimbangan yang serius
"Menteri tidak patut membuat keputusan secara tergesa-gesa dan sepihak ke atas dasar yang penting. Padahal sumber tenaga dan kewangan telah diperuntukkan untuk menjalankan kaji selidik. Beliau seharusnya menunggu hasil kajian dan membuat keputusan berdasarkan kajian berkenaan.
"Malangnya, menteri telah mengalah pada tekanan politik dan membuat keputusan yang kurang bijaksana.
"Bagi pihak rakyat, saya ingin mengatakan, 'Puan menteri, anda telah gagal dalam ujian anda'," katanya yang juga merupakan Jurucakap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur Parti Keadilan Rakyat.
Pilihan raya PBT dibantah keras oleh Umno dan Pas dalam sidang Dewan pada 15 Julai lalu.
Bekas Menteri KPKT, Noh Omar menolak idea Zuraida. Wakil rakyat Pas turut berbuat demikian. Kedua-dua parti berkenaan sering mengemukakan hujah kawasan bandar dihuni majoritinya kaum Cina dan akan mengurangkan perwakilan Melayu sebagai Datuk Bandar atau ahli majlis sekiranya pilihan raya berkenaan dilaksanakan. Tanpa mengambil kira DAP dan KEADILAN sejak sedekad lalu banyak meletakkan calon Melayu di kawasan pengundi Cina signifikan dan berjaya memenangi kawasan berkenaan.
Untuk rekod, Zuraida telah mengumumkan dua negeri, Selangor dan Pulau Pinang akan menjadi perintis pilihan raya PBT. Kos keseluruhan untuk melaksanakan pilihan raya itu dijangka menelan belanja keseluruhan RM308 juta bagi 154 PBT atau RM2 juta bagi setiap PBT.