
Oleh: Abdullah Zaid
Selama 5 tahun di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) DUN Labu telah banyak berubah dan dibangunkan secara lebih pesat, antaranya menerima pelaburan RM4 bilion dan sebanyak 1,500 peluang pekerjaan disediakan daripada Techpark@Enstek, kata Calon DUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.
Beliau antara lain turut berkongsi perancangan Malaysia Vission Valley 2 (MVV 2.0) yang kawasannya termasuk dalam DUN Labu.
"Bagi pelan jangka panjang, DUN Labu akan mampu dibangunkan dengan lebih pesat (bersama Kerajaan Persekutuan) memandangkan ia termasuk dalam kawasan MVV (Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0) yang mempunyai nilai pelaburan RM294 bilion.
"Ia sekaligus mampu memberi manfaat besar kepada rakyat Negeri Sembilan dalam tempoh tersebut," ujarnya lagi.
Justeru itu, penyandang DUN Labu tersebut mengajak pengundi di kerusi itu untuk memberikan peluang sekali lagi kepada beliau dan calon-calon PH-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos
Hal itu penting, katanya, kerana segala peruntukan lebih mudah diperolehi apabila Kerajaan Negeri dan pusat daripada parti yang sama.
"Kita pertahankan DUN Labu ini supaya segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan agar rakyat dapat menikmati manfaatnya," kata Ismail lagi.
Untuk rekod, selain Datuk Ismail Ahmad, Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menawarkan 18 calon antaranya penyadang dan calon Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harin, manakala Barisan Nasional menamakan 17 calon bagi PRN negeri itu.