Pilih haluan berbeza: Contohi Razeef Rakimin tidak hentam KEADILAN
- Akmal Manaf

- May 22
- 2 min read

Meskipun memilih haluan berbeza dalam perjuangan politik, mantan Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Sabah, Razeef Rakimin dipuji kerana mengambil pendekatan matang dan profesional selepas membuat keputusan meninggalkan parti.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar) berkata, dalam landskap politik hari ini, amat jarang dilihat seorang pemimpin yang memilih untuk tidak menyerang atau membuka aib pihak lain walaupun berbeza haluan.
"Razeef membuktikan bahawa perbezaan politik tidak semestinya berakhir dengan permusuhan. Walaupun beliau mempunyai sejarah perjuangan yang sangat panjang bersama Rafizi dalam pemilihan parti pada tahun 2018, 2022, dan 2025, beliau tetap menjaga batas persahabatan dan rasa hormat (terhadap anggota KEADILAN).
"Beliau memilih untuk tidak mengungkit kisah sepanjang 20 tahun perjuangan bersama parti.
"Apa yang paling saya hormati, beliau langsung tidak berniat untuk menghentam parti, menyerang kerajaan atau memburukkan rakan-rakan yang masih kekal dalam parti," katanya sambil menambah bahawa sikap profesional seperti itu patut dicontohi semua orang.
Menceritakan lanjut, David berkata beliau sudah lama mengenali Razeef dan persahabatan mereka telah menjangkau lebih dua dekad.
"Sepanjang 20 tahun berkawan, saya mengenali beliau sebagai seorang yang sangat 'gentleman', mempunyai prinsip yang kuat dan sentiasa profesional dalam apa jua keadaan.
"Sebagai 'senior' dari segi umur dan keanggotaan dalam perjuangan ini, saya meminta dan merayu dengan setulus hati, beri ruang untuk kita terus memacu agenda reformasi dengan tenang.
"Hentikan tindakan yang menjadi barah kepada perjuangan kita. Muhasabahlah sebelum Tuhan menarik semula nikmat kuasa yang dipinjamkan ini.
"Reformasi tetap berjalan, perjuangan belum selesai," kata David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Negeri Selangor.
Untuk rekod, Razeef mengumumkan peletakan kesemua jawatannya dalam parti itu pada 18 Mei lalu.
Beliau yang juga mantan Ketua Penerangan KEADILAN Sabah mengiystiharkan keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Sehari sebelum itu, Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).




Comments