Pilih calon mampu bentuk Kerajaan Negeri, utamakan perpaduan kaum
- Redzuan Shamsudin

- Jul 11
- 1 min read

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar) menggesa pengundi memilih calon yang mempunyai kesungguhan untuk mentadbir Johor dengan lebih baik serta mewakili parti yang mampu memainkan peranan dalam pembentukan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, pengundi perlu menilai keseriusan setiap parti yang bertanding berdasarkan kemampuan mereka untuk mentadbir negeri, bukannya sekadar bertanding di beberapa kerusi.
"Bila ingin mengundi, pertimbangan kita harus memilih wakil kita, calon kita yang ada kesungguhan mahu mentadbir negeri Johor dengan lebih baik," katanya.
Sheikh Umar berkata, parti-parti yang bertanding dalam jumlah kerusi yang kecil tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
"Cuba tengok satu per satu (parti bertanding). Bersatu bertanding 16 kerusi, tak boleh pimpin negeri Johor. Bersama bertanding 15 kerusi, tak boleh jadi kerajaan. Pas pula bertanding 11 kerusi, tak boleh jadi kerajaan," katanya dalam ceramah Grand Finale Jelajah "Johor Ke Depan, Undi Harapan" di Pasir Gudang, malam tadi.
Beliau turut berkata, Pas sebelum ini menyatakan pendirian untuk membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus mempersoalkan hala tuju parti itu.
Dalam pada itu, Sheikh Umar mengajak rakyat memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya menawarkan pendekatan berasaskan perpaduan.
"Kalau mahu memilih, pilihlah PH yang bertanding 56 kerusi. Kalau mahu pilih calon, kita kena pilih daripada parti yang mahu perpaduan, kumpulkan semua orang tanpa mengira Melayu, Cina atau India. Ini parti yang kena pilih," katanya.
Beliau berkata, semangat perpaduan dan kerjasama antara pelbagai kaum perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan Johor ditadbir secara inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.




Comments