top of page

PH tolak perisytiharan darurat beri kuasa mutlak kepada Muhyiddin

Updated: Jan 13, 2021




Darurat yang berkuatkuasa pada 12 Januari ke seluruh Persekutuan Malaysia adalah tidak perlu untuk mengekang penyebaran pandemik Covid 19.


Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini menolak perisytiharan darurat tersebut yang dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Menurut Majlis Presiden, undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak.


"Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu dalam kes-kes Covid-19, hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka.


"Berkenaan isu pilihan raya, Majlis Presiden melihat tindakan yang dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai.


"Bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihan Raya Umum ke-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023.


"Oleh itu, alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis itu usai mesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya, petang tadi.


Menurut Majlis Presiden lagi, tindakan Muhyiddin menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kaitan dengan usaha memerangi Covid 19.


Malah darurat hanya akan memberi imej buruk kepada negara kerana PM mempunyai kuasa mutlak dan boleh bertindak sewenang-wenagngnya sepanjang tempoh ia dikuatkuasakan.


"Kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.


"Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.


"Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran serta kehilangan pendapatan di kalangan rakyat," kata kenyataan itu lagi.


Sehubungan itu, Majlis Presiden berpendapat perisytiharan darurat hanyalah helah untuk memberi talian hayat kepada kerajaan PN bertahan selama beberapa bulan lagi, selepas satu demi satu Ahli Parlimen Umno menarik diri dan Muhyiddin hilang majoriti di Parlimen.


"Oleh itu, kami berpandangan tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, tidak boleh diterima sama sekali.


"Janganlah berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri," kata mereka.


Kenyataan media tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page