Pakatan Harapan (PH) tidak terkejut dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangguhkan sidang Parlimen pada Isnin ini memandangkan sidang Dewan Rakyat pada petang Khamis lalu pun ditangguhkan dengan pelbagai alasan bagi mengelakkan perbahasan Ordinan Darurat.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, alasan berlakunya jangkitan Covid 19 dalam kalangan petugas di Bangunan Parlimen tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menangguhkan sidang.
"Kita menemui Speaker pada hari Khamis dan beliau berdolak dalik seperti biasa mengatakan Ketua Pengarah Kesihatan dan akhirnya (penangguhan sidang) keputusan PM.
"Alasannya kes Covid meningkat. Kes 17,000 sudah berhari-hari. Apa yang dikejutkan. Kita ikut semua peraturan, sekatan. Ada masa ramai, ada masa kurang, semua diikuti tetapi ternyata PM memang tidak mahu adakan Parlimen.
"Ada Parlimen Khas itu kerana terpaksa akibat titah Tuanku untuk menghormati prinsip demokrasi berparlimen. Itu pun sidang khas, bahas terbatas, tidak ada pengundian," katanya dalam siaran Facebook, malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sidang Parlimen amat perlu membahaskan keadaan yang meruncing dalam negara dan diambil keputusan untuk melaksanakan pelan pemulihan negara secara yang paling wajar.
"Doktor terpaksa mogok kerana tidak diberi layanan sebaiknya, bertahun-tahun. Hari ini dikerah mereka bekerja kuat tetapi tidak ada jaminan masa hadapan.
"Kemudian hospital penuh sesak. Vaksin sekarang diuar-uarkan meningkat, tak ada cerita bahawa kita terlewat 6 bulan. Tidak berjawab kenyataan kita ada stok berjuta di Pharmaniaga (syarikat pengimport vaksin).
"Semua ini dipadamkan. Jadi untuk lari dari masalah ditiadakan Parlimen. Hari Khamis walaupun ada tetapi sebaik sahaja ada titah daripada Yang di-Pertuan Agong terus ditangguh.
"Kita yang menggesa dan mendesak Parlimen diadakan sebab kita telah diberi amanah. 72 Menteri diberikan amanah untuk mengendalikan negara. Mereka gagal," katanya.
Pakej pemulihan ekonomi pula, menurut Anwar, tidak dilakukan dengan betul. Malah kerajaan, katanya berbelanja kurang berbanding negara-negara lain.
"Ada pelbagai pakej, ransangan, pemulihan, perkasa. Bunyi ratus bilion ringgit. Tetapi kita tahu RM120 bilion itu wang KWSP, maknanya wang rakyat.
"Moratorium sebahagian diluluskan itu wang pinjaman yang perlu dibayar semula. Suntikan sebenarnya jauh lebih rendah daripada kebanyakan negara.
"RM83 bilion wang tetapi sebagaimana kita sebut dalam beberapa kes. Saya tanya spesifik, PPV mega seperti di PWTC, kontrak kecil diberikan, tidak ada jawapan memuaskan. Bagaimana penilaian prestasi ekonomi kita?
"Merujuk Economist atau Bloomberg itu, negara (di posisi) terakhir atau kedua terendah. Dalam (indeks) Neikkei untuk keupayaan negara menangani Covid kita masih tercorot ditingkat paling rendah. Kalau ini keupayaan dilakukan, apakah kepimpinan yang ada sekarang (mampu) untuk mengendali?
"Yang diberitahu lockdown, PKP, PKPD. Kita di antara yang paling keras dan paling lama. Kerajaan tidak peduli langsung susah payah orang. Kita bercakap, bagaimanapun kemudian dia jawab ikut rentak dia. Ini menyebabkan anak-anak muda turut gelisah kerana pengangguran tinggi, pengangguran siswazah amat tinggi," katanya lagi.
Tambah Pengerusi PH itu, keadaan yang semakin buruk itu menyebabkan berlaku kebangkitan anak muda yang meluas. Mereka menyurakan pandangan di media sosial, gerakan massa malah turun ke jalan raya menunjuk perasaan.
Comments