Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dijangka akan dibahas pada hari ini.
Menurut Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pindaan itu tidak dikaji dengan serapi mungkin dan akta tersebut dianggap terbuka untuk disalahgunakan.
"PH meneliti secara terperinci Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang telah dibentang dan difahamkan bakal dibahas pada 16 Disember 2021.
"Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU ini, Ahli-Ahli Parlimen PH berpandangan RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, biar pun PH diikat dengan Memorandum Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan namun mereka menggunakan peruntukan untuk tidak bersetuju terhadap sebarang undang undang yang diyakini akan merugikan rkayat.
"Memandangkan pendirian Ketua Pembangkang yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri, dan memandangkan Kerajaan tetap dengan pendirian untuk meneruskan perbahasa RUU ini, maka PH mengambil sikap tidak menyokong RUU ini di dalam bentuk yang telah dibentang.
"Saya menggesa Kerajaan khususnya Menteri Kesihatan untuk menarik balik RUU ini dan mengadakan perbincangan mendalam dengan PH serta Pembangkang amnya, agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperolehi dan dipersetujui bersama," katanya lagi.
Comments