
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyatakan rasa kecewa dengan sikap membisu beberapa negara Islam terhadap provokasi terbaharu dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palaestin.
Dalam satu kenyataan, Kamarul Bahrin menegaskan serbuan dilakukan di Masjidil al Aqsa sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam merupakan penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.
"Amat mengecewakan apabila seluruh dunia seolah memekakkan telinga dan membisu mengenai insiden Masjid al-Aqsa, amat memalukan, terutamanya dari negara-negara Islam jiran (Palestin) yang baru-baru ini menjalinkan hubungan dengan Israel.
"Jika status keramat masjid ketiga suci di dunia (Islam) tidak disifatkan cukup suci untuk dipertahankan, ia sememangnya mencerminkan semangat dan perpaduan Islam yang amat menyedihkan," katanya.
Tambah mantan Timbalan Menteri itu lagi, tindakan menyerang umat Islam dan melakukan keganasan di Masjid al-Aqsa seolah olah telah jadi kelaziman pihak berkuasa Israel setiap kali bulan Ramadan.
"Sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk bersolat hingga larut malam terutamanya di Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan.
"Selepas bertahun-tahun, Israel harus tahu dan faham tentang kewajipan umat Islam ini dan bertindaklah dengan pemahaman dan sikap belas terhadap sesama manusia," ujar beliau.
Raja Kamarul turut mengecam tindakan Amerika Syarikat yang hanya sekadar menyuarakan 'kebimbangan' mereka terhadap insiden itu namun tidak melakukan sebarang sekatan ke atas Israel.
"Tindakan menggunakan kekerasan dalam mana-mana rumah ibadat tidak kira dalam apa keadaan sekalipun adalah perbuatan terkutuk dan tidak boleh dimaafkan.
"Bayangkan jika ini berlaku kepada Synagogue atau gereja di Israel, kutukan akan menjadi sangat keras dan meluas di seluruh dunia," katanya.
Rabu lalu, polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis mengakibatkan tujuh daripada jemaah cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan.
Serbuan itu dilakukan sebelum masuk waktu Subuh dengan polis Israel mendakwa mereka bertindak balas terhadap 'rusuhan'.