PH tawar kerjasama stabil dengan Pusat jika menang kerusi DUN Sabah
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke 17 adalah untuk menjadi rakan strategik mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Hal itu ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, PH hanya meletakkan calon tidak sampai satu pertiga daripada keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah, sekali gus membuktikan niatnya bukan untuk mengambil alih kerajaan bersendirian tetapi menjalin kerjasama dengan parti lain.
"Secara keseluruhannya daripada 73 kerusi Sabah, kami letakkan calon tidak sampai satu pertiga. Jadi timbul pertanyaan apa perlunya sokongan diberikan kepada kami kalau bertanding bukan untuk menjadi kerajaan dengan sendirinya
"Sangat jelas objektif kami adalah memenangkan seberapa banyak calon KEADILAN dan PH. Dengan kemenangan besar itu, kami akan menjadi regu strategik yang penting kepada rakan sekutu di Sabah dalam membentuk kerajaan," katanya dalam sidang media di DUN Api Api, tengah hari tadi.
Saifuddin yang juga Pengarah Pilihanraya KEADILAN berkata, penyertaan PH dalam Kerajaan Negeri membawa nilai tambah besar kerana Perdana Menteri adalah Pengerusi PH, yang dapat melancarkan urusan antara Putrajaya dan Sabah, khususnya isu-isu kritikal seperti tuntutan 40 peratus hasil cukai negeri.
"Misalnya isu melaksanakan keputusan mahkamah berkenaan milik Sabah sebesar 40% hasil sedang menunggu untuk diselesaikan. Kami telah nyatakan tidak ada rayuan untuk keputusan ini," ujarnya.
Beliau mendedahkan bahawa rundingan rasmi antara Perbendaharaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bermula selaras ketetapan mahkamah.
"Hari ini wakil Perbendaharaan akan memulakan rundingan sebagaimana ketetapan mahkamah, wakil Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sekarang tak ada kerajaan (caretaker), jadi rundingan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Jika kami menganggotai Kerajaan Negeri, saya percaya penglibatan kami akan jauh lebih efektif kerana kita ada keserasian antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Jadi itu sahaja sudah memberi kelebihan berbanding kalau dimenangkan kalangan yang hostile hubungan dengan Kerajaan Persekutuan. Itu tidak akan membantu malah merugikan rakyat Sabah seluruhnya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di DUN Api Api, yang selama dua penggal memilih wakil dari KEADILAN dan PH.
"Sokongan kuat pengundi di DUN Api Api, saya rayu untuk dapat dikekalkan bagi membolehkan Api Api diwakili KEADILAN melalui calon kami, Thonny Chee.”
Beliau yakin Thonny Chee, seorang peguam muda dengan latar belakang kemasyarakatan yang kukuh, mampu menjadi wakil rakyat berkesan.
"Kami letak kepercayaan kepada Thonny kerana latar belakang pendidikan, beliau seorang peguam. Ini memberi kelebihan besar kepadanya sebagai wakil rakyat. Thonny juga luas dalam aktiviti kemasyarakatan. Saya percaya beliau boleh memainkan peranan efektif dan berkesan," katanya lagi.





