PH Simpang Renggam lapor polis PM persembah majoriti palsu


Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam, Johor telah membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Mahiaddin Yassin yang didakwa telah mempersembahkan sokongan majoriti palsu kepada Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Menurut Pengerusi PH Simpang Renggam, Khairudin Ahmad, perbuatan Mahiaddin tersebut tidak sewajarnya dilakukan sebagai seorang Perdana Menteri yang taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja Melayu.
"Beliau (Mahiaddin) berkata beliau telah mempersembahkan sejumlah sokongan Ahli-ahli Parlimen yang masih menyokong Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong.
"Sedangkan angka yang beliau persembahkan itu jelas palsu kerana sekitar 115 Ahli-ahli Parlimen telah sepakat menolak kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.
"Jumlah 107 dari kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan 8 dari Umno, telah mengisytiharkan bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Mahiaddin
"Saya berpendapat Tan Sri Mahiaddin telah mempersembahkan akuan sokongan palsu Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Justeru, tambah beliau, PH Simpang Renggam berharap pihak polis akan menyiasat laporan berkenaan mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.




Comments