top of page

PH cenderung setuju memorandum persefahaman Kerajaan - Pembangkang demi rakyat



Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk diadakan satu memorandum persefahaman antara pihak kerajaan dan pembangkang demi menjaga kebajikan rakyat ketika pandemik Covid 19 belum berakhir dan ekonomi negara semakin melemah.


Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, mesyuarat semalam telah membincangkan kerjasama berkenaan dan rundingan terperinci bersama 5 wakil kerajaan dan 6 wakil pembangkang sehari sebelumnya.


"Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman di antara Pakatan Harapan dan pihak Kerajaan, di mana PH telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.


"Memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertinggi PH, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.


"Pertemuan wakil Kerajaan dan Pembangkang telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19. Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola Kerajaan juga dibincangkan," kata kenyataan Majlis Presiden.


Majlis itu turut menekankan perlunya kerajaan menambah suntikan RM45 bilion dana bagi memastikan perang melawan Covid tidak tertanggu terutama dari segi rawatan pesakit dan peruntukan melakukan ujian saringan.


"PH berpendirian suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana Covid-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat. Di samping itu perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40," kata kenyataan itu.


Selain itu, PH turut menekankan langkah-langkah reformasi sistem dan pentadbiran yang perlu dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional 2.0 dalam kandungan memorandum berkenaan.


"Majlis Presiden turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan dalam memorandum tersebut, seperti memperkasakan pelaksanaan Undi 18, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman. Wakil-wakil juga telah membincangkan isu Undi Percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman tersebut.


"Secara dasarnya, PH cenderung untuk mempersetujui memorandum ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.


"Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita," kata mereka lagi.


Untuk rekod menteri kerajaan yang menghadiri rundingan adalah, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli; Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan.


Manakala pembangkang diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN; Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden AMANAH; Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP; Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP; Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan KEADILAN dan Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi KEADILAN





0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page