
Pakatan Harapan (PH) akan cuba meneliti corak pengundian dalam pilihan raya pasca pandemik Covid 19
Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, Pilihan Raya Negeri Melaka dengan Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang baharu merupakan kesukaran kepada PH untuk berkempen
Hal itu juga, katanya memberi satu corak baru pengundian yang perlu diteliti, sama ada rakyat masih peka kepada isu isu yang dibangkitkan sebagaimana Pilihan Raya Umum ke 14 lalu atau pun sebaliknya.
"Rakyat Melaka telah buat pilihan dan PH menyatakan keputusan itu perlu dihormati.
"Di pihak PH sudah tentu perlu dibuat penelitian secara objektif. Kami akan mengkaji corak pengundian mengikut saluran, kaum, bandar atau pinggir bandar. Itu penting untuk PH mengetahui mesej sebenar. Itu juga penting untuk PH menghadapi pilihan raya berikutnya
"Walaupun Melaka bukan kayu ukur mutlak terhadap corak pemilihan rakyat pada masa akan datang tetapi keputusan ini akan diteliti," katanya.
Manakala ADUN Bukit Katil, Adly Zahari berpendapat keputusan pada malam ini seperti telah diramalkan kerana sebelum ini PH meletakkan sasaran keluar mengundi melebihi 70% untuk menang.
"Cabaran terbesar adalah peratus keluar mengundi. Pada peringkat awal kita war warkan kepada jentera kita. Peluang PH hanya terletak jika kita melepasi 70%. Cabaran Covid juga berikan kesan kepada kita. Kita akan menilai SOP yang diperkenalkan.
"Walaupun kita telah gunakan semua media sosial dan SOP, tetapi ini semua akan kita buat penelitian sejauh mana memberi kesan kepada pilihan raya," katanya lagi