Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak anasir yang cuba melaga-lagakan parti itu dengan sekutu tradisinya DAP dan Amanah.
Berucap pada sesi Facebook langsung malam tadi, Anwar berkata, isu perbezaan pendapat dalam melantik Perdana Menteri (PM) bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Plus tidak wajar meretakkan hubungan yang telah terjalin sejak 20 tahun lalu.
Beliau menasihatkan agar penyokong di bawah tidak terus berbalah akibat isu kecil tersebut.
"PH masih kukuh sejak Pakatan Rakyat sehingga sekarang. Ini agenda yang jelas, bukan (sekadar) gabung mahu rebut jawatan, mahu jatuhkan PM Perikatan Nasional.
"Dari awal agenda (PH) jelas dengan reformasi, kebebasan institusi, kebebasan media, dasar ekonomi merakyat, semua itu dicerakinkan dalam manifesto, dalam Buku Harapan.
"Ini perjuangan yang lama, selama 20 tahun. Perbezaan pendapat tidak sedikit pun menjejaskan PH (selama tempoh itu). Saya teliti sikap DAP, kenyataan Amanah dan KEADILAN, walaupun ada perbezaan pendapat PH mesti kekal utuh.
"Jangan ada unsur yang cuba melaga-lagakan untuk kepentingan semasa mereka. Mereka ini usur baru, selama ini tidak ada pergeseran (seperti) yang kita dengar sekarang," kata Anwar.
Beliau jelas tidak senang dengan para penyokong PH yang berbalas serangan dan menuduh rakan sekutu sebagai pengkhianat.
Menurut Anwar, perselisihan pendapat adalah wajar dalam pakatan politik namun tuduhan melulu akan meretakkan hubungan yang telah sedia terjalin.
"Sekadar beza pendapat (peringkat pemimpin), di media sosial (pula) serang menyerang, ini tidak adil. Mungkin ada kenyataan Anthony Loke dan Khalid Samad itu menyingung tetapi itu perkara kecil," katanya lagi.
Anwar menjelaskan perbezaan pendapat itu terjadi berkaitan polisi yang akan dibuat oleh PM Sementara yang bakal memerintah. KEADILAN mempunyai alasan kukuh menolak Tun. Sekiranya bekas PM dua kali itu memegang tampuk negara dalam tempoh 6 bulan maka polisi beliau tentunya akan ditukar selepas PM baharu mengangkat sumpah. Dalam keadaan negara ditekan wabak Covid 19, kata Anwar, polisi yang berubah-ubah menyukarkan pemulihan ekonomi.
"Kita berbeza pendapat kerana saya tidak yakin ini yang terbaik (PM selama 6 bulan) bagi negara. (Juga usaha memulihkan badan) kehakiman, perangi rasuah dan tolak kronisme. Saya tidak yakin dalam 6 bulan kita boleh kejar, ini satu tugas yang besar.
"Terutama akhir tahun (2020) kita jangka akan ada 1 juta penganggur. Kita perlukan satu lonjakan (ekonomi yang mantap)," katanya.
Perbezaan pendapat di antara KEADILAN dan komponen PH seperti Amanah dan DAP berhubung calon PM ke 9 menyebabkan media sosial pro PH menjadi medan perang terbuka sejak 19 Jun lalu.
Penyokong menuduh kedua-dua sekutu rapat itu mengkhianati KEADILAN apabila Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mahukan Tun Mahathir sebagai PM.
Serangan-serangan terbuka juga dikhuatiri dilakukan oleh kelompok 'bekas pemimpin tertentu' yang mahu mensabotaj PH dari dalam bagi melemahkan gabungan itu menghadapi pilihan raya umum ke 15 yang dijangka diadakan secara mengejut hujung tahun ini.
留言