PH Kedah sedia gerak jentera kerjasama dengan BN
- Suara Keadilan
- Jun 5, 2023
- 1 min read

Tiga pelan tindakan telah disenaraikan Pakatan Harapan (PH) Kedah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan Julai ini.
Menurut pengerusinya Datuk Mahfuz Omar, antara pelan tindakan itu termasuklah menyesuaikan kerjasama jentera pilihanraya bersama Barisan Nasional (BN) Kedah.
"Kita sudah bersedia dengan menyediakan tiga pelan tindakan iaitu pertama persediaan untuk menghadapi pembubaran DUN dijangka bulan ini.
"Pelan kedua selepas pembubaran DUN sehingga hari penamaan calon dan pelan ketiga adalah hari penamaan calon hingga hari mengundi," katanya dipetik.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata bilik gerakan PH di seluruh Kedah sudah bersedia untuk menggerakkan jentera pilihanraya dengan kerjasama jentera pilihanraya BN negeri.
Jelasnya, pergerakan dan kerjasama jentera pilihanraya PH dan BN Kedah akan disesuaikan mengikut calon-calon yang akan diumumkan tidak lama lagi.
"Jentera parti PH dan BN akan membantu antara satu sama lain bagi menggerakkan kempen calon daripada Kerajaan Perpaduan.
"Sebenarnya kerjasama ini telah pun berlaku lama untuk menyesuaikan kerjasama jentera PH dan BN melalui penerangan dan ceramah-ceramah yang diadakan sebelum ini," katanya menurut laporan itu.
Comments