
Pakatan Harapan (PH) akan diperkukuh dengan kerjasama lebih erat dalam PH Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, kerjasama dalam PH akan menjadikan blok tersebut sebagai pengimbang ampuh menghadapi pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diberi kepercayaan oleh Yang di-Pertuan Agong memimpin negara.
"Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM yang dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat dan negara.
"Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat dan membincangkan isu politik serta keadaan semasa tanah air. Isu penularan wabak Covid-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi, di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat.
"PH turut risau masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi.
"Oleh yang demikian, Majlis Presiden mengulangi komitmen PH sebagai gabungan politik akan diperkukuh, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi. Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan.
PH, jelas kenyataan itu akan menggunakan konsep 'khemah besar' menghimpunkan semua parti-parti pembangkang serta Ahli Parlimen Bebas dalam ikatan yang teguh menentang Perikatan Nasional dan BN dalam PRU ke 15.
"Pada masa sama, selaras Ketetapan Port Dickson pada 9 April 2021, dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok Pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep Khemah Besar berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.
"Usaha menggembleng tenaga menerusi kaedah Khemah Besar di kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut jawatan yang hanya merugikan negara.
"PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai Pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina serta bertanggungjawab, sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan menjawab tohmahan kononnya PH bergolak dan tiada kata sepakat selepas Datuk Seri Anwar gagal diangkat sebagai PM ke 9 dalam sesi pemilihan yang dilakukan Agong minggu lalu.