Biarpun masih baharu menjalin kerjasama, namun hubungan ditunjukkan antara parti-parti kerajaan ketika ini amat baik.
Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang berkata, biarpun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pertama kali bergabung susulan perubahan langkap politik negara pasca PRU15, ia tidak pun menjejaskan perancangan dan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Bagai memantapkan jentera parti dalam kerajaan, penyelarasan bersama akan dibuat bagi menyusun gerak kerja dalam menghadapi PRN di negeri-negeri terbabit.
"Usaha penyelarasan ini telah pun dilakukan sebelum PRN. Sebaik sahaja kita jadi Kerajaan Perpaduan, kita sudah ada pun banyak usaha termasuk di peringkat negeri Perak, kita ada wujudkan satu jawatankuasa bersama antara BN dan PH.
"Beberapa kali mesyuarat diadakan dan saya yakin dengan perkembangan sekarang anggota kita memang bekerjasama dengan baik.
"Walaupun mungkin belum ada yang sesuaikan diri tetapi kita semua faham betapa pentingnya kedua-dua gabungan ini bekerjasama di dalam pilihan raya," katanya Pengerusi KEADILAN Perak itu.
Beliau sebelum itu ditemui pemberita ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak semalam.
Sementara itu, mengenai bantuan dari jentera KEADILAN negeri, beliau memaklumkan pihaknya sudah bersedia pada bila-bila masa untuk mengerahkan jentera ke mana-mana negeri yang terlibat dengan PRN dengan pembahagian tugas juga akan diselaraskan bersama antara PH dan BN.
Enam negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tahun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Comments