PH bina kekuatan sendiri, tidak bergantung perpecahan pembangkang
- Suara Keadilan
- 43 minutes ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bersandar kepada kelemahan atau kemelut dalaman parti pembangkang sebagai strategi utama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengarah Strategi KEADILAN Melaka, Mohd Radzmin Roslan (gambar) menegaskan, meskipun situasi pembangkang bergolak memberi sedikit kelebihan dari sudut persepsi, PH perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja di lapangan dan memperkukuh hubungan dengan pengundi.
"Keupayaan sebenar tetap bergantung kepada kekuatan organisasi, kesatuan dalaman serta keupayaan parti menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.
"Perpecahan atau masalah pihak lain mungkin memberi sedikit impak, namun kita tidak boleh bergantung kepada perkara itu.
"Kita perlu turun padang, mendengar suara akar umbi serta memahami kehendak rakyat. Daripada situ, kita bina keyakinan dan sokongan untuk meraih undi," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita di Majlis Apresiasi Bersama Media Melaka dan Pertubuhan Generasi Berdaya (PGB) mewakili badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di Klebang.
Sebagai rekod, Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan berakhir pada Disember 2026.
Sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, PRN perlu diadakan selewat-lewatnya pada 24 Febuari tahun hadapan.
Sementara itu, Mohd Radzmin yang juga Setiausaha Cabang KEADILAN Tangga Batu menjelaskan, pihaknya kini memperkemas strategi dan kesiapsiagaan jentera pilihan raya dengan memfokuskan pendekatan praktikal bagi menyelesaikan isu rakyat, khususnya membabitkan kos sara hidup, peluang pekerjaan serta kebajikan komuniti setempat.
Selain itu, pihaknya akan mengandakan usaha mendekati pengundi muda termasuk kelompok Undi 18 dan pengundi atas pagar dengan pendekatan lebih segar berdasarkan prestasi serta keikhlasan gabungan itu dalam melaksanakan amanah rakyat.





