Petrol BUDI95 : Penghargaan Kerajaan Madani kepada semua rakyat - Jimmy Puah
- Suara Keadilan

- Sep 22
- 2 min read

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi mengenai pelaksanaan program BUDI95 yang akan menetapkan harga petrol bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter untuk semua warganegara bermula 30 September 2025 disambut baik Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Johor itu, langkah tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi.
"Polisi ini merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan rakyat, termasuk golongan M40 dan T20 yang selama ini sering kali terpinggir daripada sistem bantuan bersasar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jimmy Puah menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia adalah penyumbang kepada pembangunan negara, termasuk golongan M40 dan T20 yang turut membayar cukai, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi negara.
"Apabila kerajaan melaksanakan sistem subsidi petrol secara inklusif, ia bukan sahaja mencerminkan keadilan sosial, tetapi juga penghargaan terhadap usaha kolektif semua warga Malaysia.

"Seperti bantuan tunai SARA RM100 yang bersifat menyeluruh, BUDI95 juga memberikan rasa dihargai kepada semua pihak," jelasnya.
Beliau turut menyokong syarat bahawa hanya pemilik lesen memandu sah sahaja layak menerima subsidi kerana ia dapat mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.
Menyentuh mengenai kuota 300 liter sebulan, Jimmy Puah menyifatkannya sebagai fasa percubaan yang wajar ditambah baik mengikut kategori pengguna.
"Saya ingin menyentuh mengenai kuota 300 liter sebulan yang ditetapkan buat masa ini. Walaupun ia mungkin mencukupi untuk kebanyakan pengguna biasa, saya percaya ini adalah fasa percubaan (pilot phase).
"Pada masa akan datang, kerajaan perlu menilai semula kuota ini secara fleksibel berdasarkan jenis kenderaan dan corak penggunaan sebenar. Misalnya, motosikal jelas tidak setara dengan kereta dari segi keperluan petrol.
"Oleh itu, saya mencadangkan agar satu garis panduan yang terperinci dan adil disediakan, dengan kuota yang berbeza mengikut kategori pengguna. Sekiranya sesuai, kuota ini boleh dipertingkat kepada 350 liter atau lebih pada masa hadapan, mengikut keperluan semasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa rakyat agar berdisiplin dan tidak panik membeli petrol apabila sistem ini mula dilaksanakan hujung September.
"Saya juga berharap kerajaan, terutamanya agensi pelaksana seperti Kementerian Kewangan dan KPDN dapat memastikan sistem digital MyKad, integrasi subsidi dan pengesahan identiti berjalan lancar pada hari pelaksanaan nanti," tambahnya.
Jinny Puah yakin program BUDI95 adalah refleksi kepada semangat Madani yang menyeluruh, adil dan berdata serta mampu menjadi model subsidi pintar yang membantu rakyat, di samping mengukuhkan kedudukan fiskal negara untuk jangka panjang.









Comments