PETRA tegur AKSB lambat guna geran bantuan sewa lori tangki air
- Suara Keadilan

- 39 minutes ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberi peringatan kepada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) berhubung kelewatan menggunakan geran RM6.7 juta yang telah disediakan sejak awal tahun bagi menangani isu perkhidmatan lori tangki air bergerak di kawasan bertekanan rendah di negeri itu.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan sudah menyediakan peruntukan tersebut, namun AKSB agak lewat untuk memanfaatkannya.
"Peringatan saya kepada AKSB, kita nak bagi geran RM6 juta. Isu lori tangki bergerak. RM6.7 juta kita dah beri peluang sejak awal tahun, AKSB masih belum menggunakan lagi. Jadi kali ni saya ingatkan, tahun ni tak ada, saya batalkan," katanya dalam satu siaran video sempena lawatan beliau ke Kelantan baru baru ini.
Akmal menjelaskan bahawa peruntukan itu bukan sahaja tersedia, malah kementerian terpaksa berulang kali menggesa AKSB agar mengambil geran tersebut demi melancarkan operasi perkhidmatan air di kawasan terjejas.
"Duit dah ada. Saya pula kena minta AKSB ambillah geran ini. Kalau tidak, pencapaian tak manis di peringkat SPAN," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu berkaitan telah dibincangkan berulang kali, namun kemajuan yang diharapkan masih belum kelihatan.
Timbalan Menteri itu menegaskan bahawa geran RM6.7 juta tersebut amat penting bagi membantu AKSB menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan hujung jajaran, termasuk kawasan tekanan rendah.
"Bagi saya, RM6.7 juta ini untuk membantu AKSB beri perkhidmatan kepada mereka yang di hujung jajaran. Low pressure area, AKSB tolong bantu kami membantu rakyat Kelantan. Itu harapan kita," katanya.
Menurut Akmal, Kelantan satu-satunya negeri yang diberi peruntukan untuk menyewa lori tangki air sebagaimana diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu hanya digunakan selepas ditanya berkali kali dan lantikan kontraktor dibuat pada bulan lalu.









Comments