Avtar Singh, Hj Kamil dan Vijeyndran (seorang Punjabi, Melayu dan India), merupakan pengundi Parlimen Wangsa Maju dan merupakan penerima Kuih Bulan Reformasi keluaran KEADILAN. Walaupun mereka bukan berbangsa Cina, mereka juga menyantuni sambutan Pesta Kuih Bulan yang jatuh pada 21 September tahun ini.
Oleh kerana Kuih Bulan Reformasi merupakan produk tahunan parti sejak dua dekad lalu maka KEADILAN Wangsa Maju kali ini mengedarkan 800 biji kuih bulan seminggu sebelum perayaan, kepada masyarakat majmuk di kawasan Parlimen berkenaan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, beliau bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan pimpinan kawasan turun ke kampung tradisi Cina Kampung Lee Kong Chian pada 18 September lalu untuk mengedarkan kuih bulan ke setiap rumah penduduk.
"Kampung ini dalam kebiasaan menyambut Pesta Kuih Bulan melakukannya secara besar-besaran. Pandemik yang melanda, memaksa jawatankuasa pengurusan kampung untuk melarang sebarang sambutan di tapak awam.
"Dalam semangat kemasyarakatan KEADILAN, Ketua Kampung Sg Mulia Hj Kamil juga dijemput untuk meraikan pengagihan Kuih Bulan Reformasi. Kampung ini bersebelahan dengan Kg Lee Kong Chian, merupakan antara kampung yang diklasifikasikan sebagai Kampung Warisan di Jalan Gombak
"Dalam keadaan pandemik ini, sebarang perayaan kami sambut dalam skala yang kecil demi kesinambungan budaya. KEADILAN menyambut kepelbagaian, tanpa mengira bangsa dan agama. Perayaan kebudayaan seperti Pesta Kuih Bulan, harus diraikan bersama," katanya.
KEADILAN Wangsa Maju juga berkunjung ke beberapa kawasan tumpuan masyarakat Cina seperti Desa Setapak dan Teratai Mewah dalam agihan kuih bulan berkenaan.
Pesta Kuih Bulan disambut pada musim luruh di zaman purba China. Tahun ini jatuh pada 21 Sepember 2021. Terdapat banyak versi asal-usul kuih bulan, tetapi yang paling popular adalah kisah penduduk di China pada abad ke 14 menggunakan mesej rahsia dalam kuih sebagai pengantaraan untuk melancarkan pemberontakkan terhadap dinasti zalim.
Di Malaysia, pesta kuih bulan digunakan oleh pendukung Reformasi seawal 1999 untuk mengenang pemenjaraan Bapa Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 September 1998 yang menandakan bermulanya perjuangan panjang menegakkan keadilan dan kesaksamaan di negara ini.
Comments