'Pesta Demokrasi' PRN Sabah: Pertarungan 596 calon rebut 73 kerusi DUN sengit
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
Sorotan PRN Sabah ke-17: Sebaik sahaja selesai penamaan calon semalam, rata-rata calon-calon yang bertanding tidak bertangguh lagi untuk merapati pengundi di kawasan masing-masing.
Siapapun yang menjadi calon pasti tidak sempat `mengesat peluh’ apatah lagi persaingan merebut hati pengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) kali ini disaingi lebih empat penjuru dan ada juga terpaksa menghadapi lawan 14 penjuru.
Lebih mencabar lagi ada juga calon-calon yang bertanding terpaksa berdepan dengan ahli keluarga sendiri iaitu abang atau adik, sepupu dan bapa saudara yang turut menawarkan diri bertanding di DUN yang sama.
`Pesta Demokrasi’ meraikan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Sabah ke - 17 sebaik sahaja penamaan calon selesai semalam.
Seramai 596 calon menawarkan diri untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 447 calon semasa PRN ke-16 lalu.
Berikut beberapa fakta yang menarik boleh dilihat menjelang tarikh pengundian pada 29 November akan datang.

* Seramai 596 calon menawarkan diri bertanding kali ini yang melibatkan 23 parti, termasuk calon daripada Bebas.
Malah calon Bebas paling ramai bertanding iaitu 74 orang, diikuti Warisan bertanding di semua 73 kerusi, Parti Impian Sabah 72 kerusi, GRS 55, STAR 46, BN 45, PN 42, KDM 40, UPKO 25 dan PH 22 kerusi.
Lain-lain parti, kebanyakannya parti tempatan bertanding antara 20 hingga 1 kerusi DUN.
* Tiada pertandingan dua penjuru berlaku dalam PRN kali ini di mana paling sedikit berlaku pertandingan ialah empat penjuru.
* Calon paling ramai bertanding bagi sesebuah kerusi ialah 14 orang di satu kerusi iaitu DUN Tulid.
* Pertandingan 13 penjuru juga tidak kurang hebatnya iaitu di empat kerusi, 12 penjuru ( dua kerusi) , 11 penjuru ( enam kerusi), 10 penjuru ( sembilan penjuru) .
* Manakala lain-lain DUN juga menyaksikan pertembungan sembilan penjuru ( 10 kerusi) , lapan penjuru (di lapan kerusi) tujuh penjuru (di 10 kerusi) Enam penjuru (di 13 kerusi ), Lima penjuru (di lapan kerusi) dan empat penjuru (di dua kerusi).
* Antara DUN- DUN yang menjadi tumpuan adalah yang menyaksikan pertembungan adik beradik . Selain itu calon suami dan isteri yang bertanding juga (walaupun berlainan DUN) tetapi menjadi perhatian.
* Daripada jumlah 596 calon yang bertanding, 525 adalah lelaki manakala selebihnya 71 orang merupakan wanita.
* Calon tertua ialah calon PKS di DUN Bingkor iaitu berusia 86 tahun dan calon termuda juga calon PKS di DUN Silam yang berusia 24 tahun.
* Fokus utama PRN Sabah ini ialah untuk memilih parti untuk mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
* Kerajaan negeri Sabah sedia ada ditadbir oleh GRS bersama PH serta beberapa parti tempatan yang lain.
Kali ini, selain Warisan yang bercita-cita untuk kembali berkuasa, Barisan Nasional (BN) juga mempunyai cita-cita yang sama.
Mampukah Warisan yang bertanding 73 kerusi dan BN yang bertanding 45 kerusi beroleh kemenangan kali ini atau GRS yang disokong PH akan terus kekal mentadbir Sabah?
Semuanya akan terjawab pada malam 29 November akan datang.









Comments